Ambil peluang semarakkan pelancongan domestik – Nancy

 Ambil peluang semarakkan pelancongan domestik – Nancy

KUALA LUMPUR, 10 Mac — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru supaya rakyat Malaysia dan syarikat pelancongan tempatan mengambil peluang kebenaran Gelembung Pelancongan Bersasar bagi menyemarakkan pelancongan domestik.

Datuk Seri Nancy Shukri

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata itu yang membolehkan pelancong dari kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ke negeri PKPP bermula hari ini,  secara tidak langsung membuka peluang kepada perniagaan sektor itu kembali beroperasi sepenuhnya.

“Sudah pasti ini menjadi permulaan lembaran baharu sebagai pemangkin untuk industri ini bangkit semula, seterusnya membantu kelangsungan hidup para pekerja yang terlibat dalam rantaian sektor pelancongan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nancy berkata MOTAC juga berterima kasih kepada kerajaan kerana telah membenarkan aktiviti langsung bagi industri kreatif di kawasan PKPP dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) .

Beliau berkata ia termasuk program rasmi kerajaan, televisyen, seni muzik, tari, teater, muzikal, komedi, persembahan kebudayaan dan warisan melibatkan kehadiran 50 peratus penonton dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat.

Nancy juga mengingatkan orang ramai supaya tidak leka dan mematuhi SOP ditetapkan ketika mengikuti aktiviti pelancongan dan kebudayaan.

“Sama-samalah kita bekerjasama dan terus berdoa agar industri pelancongan dan kebudayaan tempatan tidak perlu lagi melalui saat sukar dengan penutupan aktiviti kerana impak negatifnya terhadap rantaian ekonomi mereka yang terlibat dan negara adalah sangat mendalam,” katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang media semalam berkata aktiviti tersebut tertakluk kepada SOP ketat, termasuk perlu melalui agensi pelancongan berdaftar di bawah MOTAC.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

26  −  24  =