Ambil pelajaran daripada peristiwa 9/11 dan 13 Mei

 Ambil pelajaran daripada peristiwa 9/11 dan 13 Mei

HARI ini 11 September, terkenal dalam sejarah sebagai nine eleven (9/11). Dua puluh tahun yang lalu, iaitu pada 11 September 2001 dunia mendengar dan menyaksikan satu peristiwa rampasan beberapa buah pesawat, seterusnya merempuh beberapa buah bangunan penting di New York dan Pentagon. Bilangan nyawa yang terkorban mengikut berita dunia ialah kira-kira 2,750  di bandaraya New York dan ratusan yang lain terkorban di Pentagon.

Peristiwa ini amat menggemparkan dunia seluruhnya, kerana negara yang dicerobohi ialah satu kuasa besar dunia yang dulunya bersaing dengan Soviet Union, dan kemudiannya tinggal sebagai satu kuasa besar yang tunggal di dunia, setelah Soviet Union berpecah-belah. Negara kuasa besar tersebut, tak lain dan tak bukan, ialah negara Amerika Syarikat (AS).

Tiba-tiba negara dan bandar raya yang perkasa itu, kelihatannya amat mudah dicerobohi oleh musuh luar, terus mendapatkan helah yang amat pintar dengan menembusi keselamatan yang ketat di lapangan terbang terkenal, merampas beberapa buah pesawat besar, terus menerbangkannya, kemudian merempuh dan menghancur leburkan bangunan teguh yang menjadi simbol kekuatan AS.

Rupa-rupanya kejadian yang berlaku di AS itu melibatkan juga rakyat negara kita, ketika dalam satu majlis memperingati 19 tahun berlalunya peristiwa berdarah ini yang dianjurkan oleh Kedutaan Besar Amerika Syarikat  di Kuala Lumpur, pihak kedutaan telah melahirkan rasa simpati kepada negara kita, kerana terdapat tiga orang rakyat Malaysia yang terkorban dalam serangan itu.  Menurut pengumuman yang dibuat, mereka yang terkorban ialah:

  1. Vijayashanker Paramsothy (lelaki) lahir di Selangor dan tinggal di Queens, New York, berumur 23 tahun
  2. Sei Lai  Khoo (wanita) lahir di Sandakan dan tinggal di Jersey City, New Jersey, berumur 38 tahun
  3. Siew Nya Ang (wanita) lahir di PulauPienang, tinggal di New Jersey, berumur 37 tahun.

Dalam konteks yang lain, mungkin agak terlalu lewat untuk kita menduga siapakah penceroboh yang telah berjaya menembusi kawalan yang gagah perkasa, dan melakukan peristiwa (9/11) tersebut yang amat menggemparkan dan mungkin juga menyinggung nama baik dan maruah negara besar tersebut.

Namun pihak pemerintah AS segera mengambil kesimpulan dan menjelaskan kepada dunia bahawa golongan yang melakukan perbuatan ‘yang tidak berperi kemanusiaan’ itu ialah kumpulan ‘pengganas Islam Al-Qaeda’ yang diketuai oleh Osama ben Laden. Maka seperti biasa segala penemuan berita yang dibuat oleh pihak AS akan diterima oleh seluruh dunia.

Malah sehingga ke jangka masa yang paling akhir ini,  pihak AS ketika membuat persiapan terakhir untuk menarik keluar askarnya pada 31 Ogos 2021 dari negara Afghanistan, mengulangi lagi pengumumnya yang lama tentang penglibatan  Taliban dalam peristiwa 9/11.

Tanpa mengulangi kembali segala kepelbagaian persoalan yang berlaku dan ditimbulkan dalam peristiwa ini, serta siapakah yang bersalah dalam peristiwa 9/11 tersebut, kita sendiri sepatutnya telah mendapat pengajaran yang baik dari tragedi yang berlaku itu, terutamanya dari kaca mata dunia Islam sendiri.

Kita sendiri sedia maklum bahawa jika berlaku sebarang serangan atau pencerobohan terhadap dunia luar, terutamanya dunia Barat, dan dituding jari kepada dunia Islam, maka agak sukar untuk kita mempertahankannya, kerana sebab-sebab tertentu dalam mencari penyelesaian dan pandangan sejagat yang dapat meyakinkan semua pihak.

Oleh itu bagi kebanyakan umat Islam di negara kita perkara yang telah berlaku, dan gerak-geri umat Islam sendiri yang sering digambarkan sebagai gerakan radikal dan ganas itu, haruslah diselidiki dengan sebaik-baiknya dan dikaji asal dan punca kelahirannya supaya kita dapat bertahan dengan imej Islam yang benar dan  berasal dari sistem Syariah serta etika dan ajaran Islam yang asli.

Oleh itu dalam isu 9/11 ini juga kita haruslah menyelidiki dan mengambil pelajaran yang terbaik dari peristiwa tersebut, juga dari peristiwa yang berlaku di dalam negara kita sendiri, seperti peristiwa 13 Mei yang merupakan satu peristiwa yang amat hitam pernah berlaku di dalam negara kita sendiri, yang berlaku di dalam tahun 1969.

Amat baik sekali ketika kita merayakan ulang tahun kemerdekaan negara kita yang ke-64 ini kita mengkaji semula asal usul perjuangan negara kita dalam memdaulatkan perpaduan kaum, kekuatan Perlembagaan, penubuhan institusi serta agensi dalam usaha menyatu padu dan membangun ekonomi, politik serta bangsa yang berdaulat dan kuat di negara kita.

Seperti yang disebutkan di atas, kita juga harus mengenang kembali dan mengambil pelajaran daripada peristiwa 13 Mei 1969 yang melanda negara kita dan mencabar perpaduan kaum serta gerakan politik negara ketika itu.  Di samping itu kita haruslah memberikan penghargaan kepada para pemimpin negara kita yang berusaha dengan penuh kebijaksanaan sehingga membolehkan rakyat semua kembali bersatu dan melupakan krisis yang berlaku itu.

Perdana Menteri kita yang pertama telah  memperjuangkan kemerdekaan negara kita dari penjajahan dan mewujudkan masyarakat yang aman damai serta bertamadun dengan kerjasama kaum Cina dan India dalam bentuk perpaduan yang kuat sebagai negara berbilang etnik, dan dalam masa yang sama mendaulatkan agama negara serta memberikn kebebasan kepada agama lain untuk diamalkan dalam aman dan harmoni.

Isu agama dan etnik merupakan isu yang amat sensitif di mana-mana negara sekali pun. Oleh itu perancangan yang rapi telah dilakukan di negara kita hingga ke saat ini, iaitu melalui Perlembagaan negara serta kedaulatan Majlis Raja-Raja Melayu serta berbagai kementerian yang menjaga perpaduan bangsa, kedaulatan  undang-undang dan lainnya.

Pada masa kini nampaknya kita sering berbicara tentang krisis politik yang sedang melanda negara kita. Oleh itu ketika kita mempelajari secara luas tentang 9/11 dan 13 Mei kita haruslah mengkaji tentang isu-isu yang sering mencabar kesatuan bangsa kita, terutamanya dari sudut etnik dan agama, maka kita haruslah berhati-hati dalam membicarakan isu tersebut dan mencari titik persamaan yang kukuh di antara rakyat, serta menjaga perasaan sama sendiri secara yang terbaru dan terkini.

Rakyat keseluruhnnya yang sedang terhimpit dengan pandemik COVID-19, ditambah pula dengan bilangan keluarga yang sakit atau meninggal dunia, maka kecemasan ini telah memberikan tekanan jiwa yang amat hebat dan cemas kepada rakyat keseluruhannya, maka kita haruslah tidak menimbulkan isu-isu lain yang boleh menambahkan kegelisahan dan tekanan jiwa yang lebih lagi dari segala sesuatu yang dialaminya sekarang. Berilah ketenangan dan semangat untuk rakyat kita ini bangun semula dengan lebih gagah dan pernuh ertinya.

Tan Sri Dr Ismail Ibrahim

wira@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  85  =  87