Ambil iktibar 365 hari PKP 

 Ambil iktibar 365 hari PKP 

Oleh Mohd Kamal Ahmad

HARI ini genap setahun pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini bagi mengekang penularan pandemik COVID-19. Hari ini tidak perlu disambut dengan keramaian  dan meniup sebatang lilin di atas kek. Memadai, kita merenung kembali 365 hari yang sukar dan dilalui dengan penuh ketakutan, panik, anxiety attack, perih, tekanan dan kepayahan. Pandemik ini perlu dijadikan iktibar penting warga dunia betapa wabak yang mengejutkan ini telah meruntuhkan benteng keselamatan kesihatan global, tidak mampu ditentang dan musnahkan oleh tentera elit mahupun boleh dielak atau dikecualikan walau ditebus dengan segunung emas.

Kes pertama COVID-19 di negara ini dikesan pada 24 Januari 2020. Setakat semalam, kes keseluruhan COVID-19 di negara ini ialah 327,253 dan 310, 958 adalah kes sembuh, 15,075 kes aktif serta 1,220 kematian yang merupakan 0.37 peratus daripada kes keseluruhan.

Prestasi baik ini ialah hasil tindakan proaktif Kementerian Kesihatan sejurus mendapat maklumat mengenai wabak di Wuhan, China, dan menerima kenyataan bahawa virus itu tidak dapat dielakkan dan lambat laun akan tiba di negara ini. Tindakan serta-merta ialah mengaktifkan Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Balas Krisis (CPRC) bagi menyelaras dan mengintegrasikan tindak balas kesediaan kementerian menghadapi, mengurus dan mengekang pandemik COVID-19.

Setahun PKP, menyaksikan Malaysia ‘from zero to something’. Kesungguhan politik, komitmen petugas dan pakar serta keberkesanan sistem membolehkan pandemik ini dikekang dengan baik. Memang ada kelemahan di sana sini. Tetapi sewajarnya diterima dengan hati terbuka dan bersyukur kerana pencapaian baik dalam pengurusan COVID-19 juga banyak. Keupayaan ini juga disumbang oleh pengalaman lalu ketika negara berdepan dan menangani wabak virus seperti Nipah, SARS, MERS-Cov serta H1N1.

Genap setahun PKP, kerajaan semalam memperuntukan RM20 bilion bagi melancarkan Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) dan suntikan fiskal baharu berjumlah RM11 bilion. Langkah ini adalah sebahagian usaha menyokong proses pemulihan ekonomi negara, memperkasakan keselamatan kesihatan rakyat serta terus membantu kelompok sasaran yang terjejas teruk akibat pandemik itu.

PEMERKASA adalah tahap kelima Strategi 6R Pelan Komprehensif Pemulihan Ekonomi iaitu ‘revitalize’ atau memperkasa ekonomi di mana pada tahap ini, strategi pemulihan ekonomi ditumpukan kepada usaha merancak dan melonjakkan semula aktiviti ekonomi.

Selepas mengalami dan menganalisis kesan setahun dilanda COVID-19, kerajaan akhirnya mengenal pasti lima fokus utama program pemulihan dan pemerkasaan ekonomi sepanjang 2021 iaitu mengawal penularan COVID-19, memacu pemulihan ekonomi, memperkukuh daya saing negara, melaksanakan agenda keterangkuman wilayah dan masyarakat dan mentransformasi ekonomi.

Program itu yang mempunyai lima fokus utama akan menumpukan 20 inisiatif strategik bagi melonjakkan pertumbuhan ekonomi, menyokong peniagaan dan meneruskan bantuan kepada rakyat dan sektor yang terkesan, katanya ketika mengumumkan Pemerkasa hari ini.

Demi prihatin kepada rakyat, kesungguhan dan tekad membanteras COVID-19 serta memacu semula pertumbuhan ekonomi yang terjejas akibat pandemik itu, kerajaan telah mengumumkan lima pakej bantuan berjumlah RM340 bilion. Ini antara peruntukan mega yang pernah disediakan oleh kerajaan setakat ini. Ini melibatkan PRIHATIN (RM250 bilion), PRIHATIN PKS (RM10 bilion), PENJANA (RM35 bilion), Kita PRIHATIN (RM10 bilion), PERMAI (RM15 bilion) dan hari ini pelancaran PEMERKASA yang melibatkan RM20 bilion.

Pada masa sama, kita tidak boleh mengabaikan ancaman jangkitan penyakit lain seperti denggi yang mengorbankan 140 orang tahun lalu. Malah kempen kusta menerusi beberapa platform media juga menggambarkan ada ancaman daripada penyakit itu yang pernah dibasmi (sepenuhnya?) sebelum ini.

“Ketika Malaysia dan seluruh dunia terus menghadapi wabak COVID-19, kita tidak boleh kehilangan perhatian kita terhadap penyakit tropika (NTD) yang diabaikan, yang memberi kesan buruk terhadap kesihatan dan penghidupan masyarakat,” kata Dr Lo Ying-Ru Jacqueline, Wakil WHO untuk Malaysia, Brunei Darussalam dan Singapura.

Ustaz Hanafiah Abdul Razak

Sementara itu, penceramah bebas dan pakar falak, Ustaz Hanafiah Abdul Razak berkata: “Pada pendapat saya, jangan main-main! Pandemik COVID-19 ini mesti kita takuti kerana ia adalah azab Allah.”

Beliau turut menasihatkan supaya orang ramai mengelakkan keluar rumah pada waktu malam kerana wabak penyakit turun pada waktu itu yang tidak diketahui harinya.

“Ada dijelaskan dalam kitab Badzlu al-Maun Fi Fadhli al-Thaun, di mana Imam Ibnu Hajar menggalakkan kita melazimkan diri untuk berada di rumah kecuali perlu keluar untuk mencari nafkah kehidupan.

“Jadi benarlah apa yang menjadi slogan Kementerian Kesihatan – Kita Jaga Kita,” katanya.

Beberapa hari lalu, kerajaan turut mengumumkan kebenaran untuk umat Islam menunaikan solat tarawih, solat Aidilfitri dan serta membuka Bazar Ramadan. Justeru, di sebalik kelonggaran itu sebenarnya ada komitmen yang dituntut daripada rakyat untuk mempertahankan status penurunan kes COVID-19 dan terus berusaha memutuskan rantaiannya.

Ini kerana, jika kita ingkar mematuhi prosedur operasi standard (POS) ditetapkan, dikhuatiri pandemik ini akan menular semula dan kita tidak dapat menunaikan solat tarawih, solat Aidilfitri dan menganjurkan bazar Ramadan bila tiba masanya, bulan depan.

Apabila kerajaan membenarkan pelajar kembali ke sekolah, itu adalah petunjuk bahawa tiba masanya seluruh rakyat perlu memulakan semula kehidupan seperti sedia kala tetapi dengan pematuhan POS – termasuk tidak keluar rumah jika tidak perlu. Namun, kita tidak boleh berterusan dirundung kepayahan tetapi jangan lupa mengambil iktibar daripada wabak ini dengan kembali kepada fitrah asal seorang insan yang mematuhi syariat-Nya.

Bacalah buku mengenai wabak yang menimpa Nabi Ayub dan pengikutnya selama 18 tahun. Dan, seraplah inspirasi ketabahan Baginda ketika melalui detik-detik sukar serta penuh azab, sengsara dan penderitaan itu.

Merumuskan ‘sambutan setahun PKP’ ini, seluruh rakyat dituntut melaksanakan peranan iaitu memutuskan rantaian COVID-19 demi keinginan untuk kita semua kembali hidup seperti sedia kala. Tahniah kepada seluruh jentera dan petugas barisan hadapan, anda adalah wira dalam ‘peperangan’ ini dan rakyat adalah tentera yang sama-sama berjuang membanteras pandemik ini.

 

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

7  +  2  =