Amanah tolak penggabungan dengan PKR – Salahuddin Ayub

 Amanah tolak penggabungan dengan PKR – Salahuddin Ayub

Datuk Seri Salahuddin Ayub, Timbalan Presiden Amanah

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Parti Amanah Rakyat (Amanah) menolak sekeras-kerasnya cadangan penggabungan dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) seperti yang diperkatakan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Amanah tidak akan melayan sebarang cadangan seperti itu.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, perkara itu tidak berbangkit dan tidak pernah dibincangkan dalam Pakatan Harapan (PH).

“Tak perlu. Tak perlu. Tak berbangkit dan tak pernah dibincangkan dalam Pakatan Harapan.

“Perkara ini tidak pernah berbangkit dan tidak timbul isu itu sebenarnya. Itu hanya suara-suara daripada mereka yang bukan pandangan rasmi parti. Bagi Amanah kita tidak anggap perkara itu berbangkit dan kita dah tubuh Amanah dan jadi sebahagian daripada Pakatan Harapan hingga ke hari ini. Kita akan terus (jadi) rakan dalam Pakatan Harapan,” katanya

Semalam, cadangan menggabungkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Amanah Rakyat (Amanah) sudahpun dikemukan menurut Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar yang juga merupakan Presiden PKR, walau bagaimanapun cadangan penggabungan itu belum dibincangkan atau diputuskan.

Terdahulu seorang penganalisa politik juga mencadangkan kedua parti komponen PH itu bergabung kerana diyakini boleh membantu PH memenangi hati pengundi Melayu selepas PH tewas pada PRN Melaka 20 Nov lalu.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  −  64  =