Belagu Dayang Nurfaizah ungguli carta dalam masa 2 jam

 Belagu Dayang Nurfaizah ungguli carta dalam masa 2 jam

Oleh Iqhram Ahmad

KUALA LUMPUR, 13 Feb: Album terbaharu penyanyi popular Dayang Nurfaizah berada di tangga nombor satu mengungguli puncak carta Itunes Apple Store selepas hanya dua jam ia diedarkan, semalam.

Album berjudul Belagu itu menghimpunkan khazanah lagu terbaik tempatan dan nusantara serta diberikan nafas baharu oleh Dayang Nurfaizah.

Dayang menjelaskan, beliau terharu dengan sambutan hangat diberikan pendengar serta peminat muzik tempatan.

“Pengurus Dayang, Sharina Ahmad, memberitahu Belagu mula diedarkan di seluruh penstriminan muzik tepat jam 12 malam tadi dan dua jam selepas itu ia berada di tangga nombor satu carta album paling laris jualan di Itunes Apple Store.

Alhamdullilah! Saya berasa syukur segala perancangan yang bertahun dan kerja keras dicurahkan untuk menghasilkan album ini ternyata berbaloi. Ternyata apa yang saya mahu kongsikan dengan peminat muzik tempatan diterima baik,” katanya.

Kata beliau, sambutan hangat peminat terhadap album Belagu menjadi petanda positif bahawa industri muzik tempatan masih mampu berkembang baik walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran.

Dayang turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantu dalam merealisasikan impian menghasilkan Belagu terutama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.

Album Belagu menghimpunkan lagu klasik antaranya Tudung Periuk, Malam Ku Bermimpi, Kenang Daku Dalam Doamu dan Tari Tualang Tiga.

Penyanyi dan komposer muda, Hael Hussaini turut membuat kemunculan istimewa dengan mendendangkan lagu Gurindam Jiwa secara duet dengan Dayang.

Album Belagu adalah projek khas Dayang dan kerja rakaman dilakukan secara langsung dengan studio khas dibina dalam sebuah gudang, bagi membolehkan segala logistik dan kerja rakaman berlangsung dengan sempurna dalam tempoh dua hari.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

88  +    =  95