Al-Quran & hadis perintah berkiblat ke Kaabah

 Al-Quran & hadis perintah berkiblat ke Kaabah

Menghadap arah kiblat adalah menjadi syarat sah solat lima waktu dan solat sunat lain. Menurut syarak, menghadap kiblat diertikan tubuh badan seseorang menghadap ke arah Kaabah yang terletak di Makkah al-Mukarramah. Keperluan utama penetapan arah kiblat ialah ketika melaksanakan ibadat fardhu seperti solat, pengkebumian jenazah, berdoa, penyembelihan dan yang berkaitan dengannya.

Allah SWT berfirman:

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ  ۖ وَإِنَّهُۥ لَلْحَقُّ مِنْ رَّبِّكَ  ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا تَعْمَلُونَ

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan sesungguhnya perintah berkiblat ke Kaabah itu adalah benar dari Tuhanmu. Dan (ingatlah), Allah tidak sekali-kali lalai akan segala apa yang kamu lakukan.” (QS. Al-Baqarah 2: Ayat 149)

وَمِنْ حَيْثُ خَرَجْتَ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ  ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ لِئَلَّا يَكُونَ لِلنَّاسِ عَلَيْكُمْ حُجَّةٌ إِلَّا الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْهُمْ فَلَا تَخْشَوْهُمْ وَاخْشَوْنِى وَلِأُتِمَّ نِعْمَتِى عَلَيْكُمْ وَلَعَلَّكُمْ تَهْتَدُونَ

“Dan dari mana sahaja engkau keluar (untuk mengerjakan solat), maka hadapkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya, supaya tidak ada lagi (sebarang) alasan bagi orang-orang (yang menyalahi kamu), kecuali orang-orang yang zalim di antara mereka (ada sahaja yang mereka jadikan alasan). Maka janganlah kamu takut kepada (cacat cela) mereka, dan takutlah kamu kepadaKu (semata-mata); dan supaya Aku sempurnakan nikmatKu kepada kamu, dan juga supaya kamu beroleh petunjuk hidayah (mengenai perkara yang benar).” (QS. Al-Baqarah 2: Ayat 150)

Atas dasar ayat di atas, para ulama’ sepakat bahawa menghadap ke Baitullah hukumnya wajib bagi orang-orang yang melakukan solat. Kewajipan ini dikuatkan lagi dengan hadis-hadis Nabi SAW seperti berikut :

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَأَسْبِغِ الْوُضُوءَ، ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ

Maksudnya: “Apabila engkau hendak bersolat berwudhu’lah dengan sempurna, kemudian menghadaplah ke kiblat dan bertakbir.” (HR: Bukhari dan Muslim)

Anas Ibn Malik menceritakan dalam satu hadis yang bermaksud: “ Bahawa Baginda Rasulullah SAW pada suatu hari sedang solat menghadap ke Baitul Maqdis, kemudian turunlah ayat – “Sungguh kami melihat mukamu mengadah ke langit (sering melihat ke langit dan berdoa agar turun wahyu yang memerintahkan berpaling ke Baitullah). Sungguh kami palingkan mukamu ke Kiblat yang kamu sukai. Palingkanlah mukamu ke Masjidil Haram.”

Kemudian ada orang dari Bani Salamah sedang melakukan rukuk pada rakaat kedua, lalu Baginda menyeru: “Ingatlah bahawa kiblat telah diubah lalu mereka berpaling ke arah kiblat ( Baitullah).” (HR: Muslim)

Ayat Quran yang turun dalam hadis di atas adalah ayat 144 Surah al-Baqarah iaitu:

قَدْ نَرٰى تَقَلُّبَ وَجْهِكَ فِى السَّمَآءِ  ۖ فَلَنُوَلِّيَنَّكَ قِبْلَةً تَرْضٰىهَا  ۚ فَوَلِّ وَجْهَكَ شَطْرَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ  ۚ وَحَيْثُ مَا كُنْتُمْ فَوَلُّوا وُجُوهَكُمْ شَطْرَهُۥ  ۗ وَإِنَّ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتٰبَ لَيَعْلَمُونَ أَنَّهُ الْحَقُّ مِنْ رَّبِّهِمْ  ۗ وَمَا اللَّهُ بِغٰفِلٍ عَمَّا يَعْمَلُونَ

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang mengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya. Dan sesungguhnya orang-orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah diberikan Kitab, mereka mengetahui bahawa perkara (berkiblat ke Kaabah) itu adalah perintah yang benar dari Tuhan mereka; dan Allah tidak sekali-kali lalai akan apa yang mereka lakukan.”

Menurut Kitab Mukhtasar Ilmu Falak karangan Mohamad Faizal Jani (2020), takrif kiblat dari segi bahasa (berdasarkan Mu’jam al-Arabi al-Islami) “qiblah” berasal dari perkataan “qabila yang bermaksud menerima. Di dalam al-Quran, lafaz Qiblah mempunya dua makna :

  1. Surah al-Baqarah ayat 143

وَكَذٰلِكَ جَعَلْنٰكُمْ أُمَّةً وَسَطًا لِّتَكُونُوا شُهَدَآءَ عَلَى النَّاسِ وَيَكُونَ الرَّسُولُ عَلَيْكُمْ شَهِيدًا  ۗ وَمَا جَعَلْنَا الْقِبْلَةَ الَّتِى كُنْتَ عَلَيْهَآ إِلَّا لِنَعْلَمَ مَنْ يَتَّبِعُ الرَّسُولَ مِمَّنْ يَنْقَلِبُ عَلٰى عَقِبَيْهِ  ۚ وَإِنْ كَانَتْ لَكَبِيرَةً إِلَّا عَلَى الَّذِينَ هَدَى اللَّهُ  ۗ وَمَا كَانَ اللَّهُ لِيُضِيعَ إِيمٰنَكُمْ  ۚ إِنَّ اللَّهَ بِالنَّاسِ لَرَءُوفٌ رَّحِيمٌ

“Dan demikianlah (sebagaimana Kami telah memimpin kamu ke jalan yang lurus), Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) satu umat yang pilihan lagi adil, supaya kamu layak menjadi orang yang memberi keterangan kepada umat manusia (tentang yang benar dan yang salah) dan Rasulullah (Muhammad) pula akan menjadi orang yang menerangkan kebenaran perbuatan kamu. (Sebenarnya kiblat kamu ialah Kaabah) dan tiadalah Kami jadikan kiblat yang engkau mengadapnya dahulu itu (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi ujian bagi melahirkan pengetahuan Kami tentang siapakah yang benar-benar mengikut Rasul serta membenarkannya dan siapa pula yang berpaling tadah (berbalik kepada kekufurannya) dan sesungguhnya (soal peralihan arah kiblat) itu adalah amat berat (untuk diterima) kecuali kepada orang-orang yang telah diberikan Allah petunjuk hidayah dan Allah tidak akan menghilangkan (bukti) iman kamu. Sesungguhnya Allah amat melimpah belas kasihan dan rahmatNya kepada orang-orang (yang beriman).”

  1. Surah Yunus ayat 87

وَأَوْحَيْنَآ إِلٰى مُوسٰى وَأَخِيهِ أَنْ تَبَوَّءَا لِقَوْمِكُمَا بِمِصْرَ بُيُوتًا وَاجْعَلُوا بُيُوتَكُمْ قِبْلَةً وَأَقِيمُوا الصَّلٰوةَ  ۗ وَبَشِّرِ الْمُؤْمِنِينَ

“Dan (setelah itu), Kami wahyukan kepada Nabi Musa serta saudaranya (Nabi Harun): Hendaklah kamu berdua mendirikan rumah-rumah di Mesir untuk menempatkan kaum kamu, dan jadikanlah rumah-rumah kamu tempat solat, serta dirikanlah solat di dalamnya; dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang beriman (bahawa mereka akan diselamatkan dari kezaliman Firaun dan kaumnya).”

Menurut Imam Taqiyuddin di dalam Kitab Kifayatul Akhyar, tarif falak secara istilah ialah “ Kiblat adalah Kaabah. Kaabah dikatakan kiblat kerana setiap orang yang melakukan solat pasti menghadap arah kiblat. Disebut kaabah kerana bentuk tingginya.”

Menurut mazhab Syafi’i, terdapat tiga kaedah berhubung dengan syarat sah menghadap kiblat iaitu :

  1. Kiblat Yakin iaitu bagi seseorang yang berada di dalam Masjidil Haram sama ada melihat Kaabah atau tidak, wajib ia menghadap dan menghalakan dirinya ke Kaabah dengan yakin atau menyentuhnya bagi orang buta.

 

  1. Kiblat Dzanni iaitu bagi seseorang yang berada jauh dari Kaabah iaitu berada di luar Masjidil Haram dan sekitar Makkah hendaklah menghadap ke arah Masjidil Haram dengan tujuan ke arah Kaabah secara Dzanni sahaja dan bergantung kepada ijtihadnya. Kaedah ini boleh diketahui melalui pertanyaan kepada mereka yang berpengetahuan seperti penduduk Makkah.

 

  1. Bagi seseorang yang berada di luar Masjidil Haram dan di luar Makkah, hendaklah menghadap ke arah tanah suci dengan tujuan menghadap Masjidil Haram atau Kaabah. Cara ini memadai untuk melaksanakan tuntutan syarak ketika mendirikan solat dan ibadah lain.

Bagi tempat yang jauh seperti Malaysia, ijtihad arah kiblat boleh ditentukan melalui perhitungan falak atau astronomi dengan menggunakan peralatan bersesuaian.

Oleh Unit Falak, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

Rujukan :

Kitab Mukhtasar Ilmu Falak (Mohamad Faizal Jani)

Kaedah Panduan Falak Syarie (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia)

Ilmu Falak Teori, Praktik dan Hitungan (Burhanuddin Zainal)

Manhaj Fiqh Al-Syafi’i Jilid 1 ( Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Nege

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

86  −  78  =