Al Mubarak, Pertiwi sedia 400 pek makanan percuma setiap hari

 Al Mubarak, Pertiwi sedia 400 pek makanan percuma setiap hari

Oleh Suraya Ali

KUALA LUMPUR, 6 Feb: Enggan menyerah kalah dengan keadaan ekonomi yang teruk sekarang, pengurus restoran Al Mubarak di Medan Tuanku di sini mencari alternatif bagi mengekalkan perniagaannya. 

Raja Mansur, 35 bekerjasama dengan badan bukan kerajaan – Pertiwi Soup Kitchen (Pertiwi) bagi menyediakan 400 bungkusan makanan setiap hari untuk diedarkan secara percuma kepada ibu tunggal, asnaf dan petugas barisan hadapan. 

“Ketika awal penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), restoran kami mengalami kerugian yang teruk sehingga hampir ditutup,” katanya.  

Namun setelah dipertemukan dengan Pengasas Pertiwi, Datuk Munirah Abdul Hamid, beliau kini boleh menarik nafas lega dan lebih membanggakan turut mampu menyumbang makanan untuk kelompok yang memerlukan. 

Sementara itu, Munirah berkata, Pertiwi bekerjasama dengan beberapa restoran sekitar ibu negara untuk menyediakan lebih 1,400 pek makanan siap masak untuk diedarkan. 

“Kami mahu komuniti kami kekal bertahan dan sama-sama mengharungi waktu sukar ketika PKP ini,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Seorang penerima bantuan, Noraini Jumdani, 48, ibu tunggal dengan lima anak telah kehilangan kerja sejak awal PKP 2.0 lalu. 

Noraini Jumdani

“Anak saya berumur antara 8 hingga 17 tahun dan saya tiada punca pendapatan. Hanya di sinilah tempat kami mendapatkan makanan harian,” katanya.

Menurut beliau, makanan yang dihidangkan memang sedap dan cukup untuk mereka enam beranak. 

Seorang lagi penerima, Lim Ah Seong berkata, beliau berharap bantuan sebegini akan berterusan kerana ia amat membantu kelompok sepertinya. 

“Saya sudah tua, tidak ada kerja. Anak susah mahu datang tengok dan bantu saya kerana mereka duduk di Melaka. Jadi saya dengan kawan-kawan datang ambil makanan di sini,” katanya.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *