Akta anti lompat parti: Perlu reformasi baiki sistem parti politik terlebih dahulu

 Akta anti lompat parti: Perlu reformasi baiki sistem parti politik terlebih dahulu

KUALA LUMPUR, 5 Sept — Permasalahan ahli Parlimen yang melompat parti sudah lama berlaku sehingga menjadi fenomena yang memberikan kesan sehingga tumbangnya sesebuah kerajaan.

Ahli Parlimen Kangar, Noor Amin Ahmad berpendapat bahawa fenomena lompat parti adalah hasil daripada kelemahan sistem sebuah institusi parti politik itu sendiri dan perkara ini akan berterusan sekiranya tiada reformasi dalam sesebuah institusi itu secara menyeluruh.

“Fenomena lompat parti sudah lama berlaku, sejak kita awal mecapai kemerdekaan lagi dan kita tengok fenomena ini menimbulkan kejelekan dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya kita ingin bercakap mengenai lompat parti, kita tidak boleh terpisah daripada keperluan reformasi institusi politik secara menyeluruh.

“Ini kerana, lompat parti ini adalah hasil natijah daripada kelemahan sistem dari segi cara memilih perwakilan dan sebagainya,” katanya dalam program Pentas Wacana yang disiarkan secara dalam talian di saluran YouTube dan Facebook Wacana.my pada Sabtu.

Justeru, Noor Amin menggesa supaya perubahan terutamanya reformasi dalam sistem parti politik dapat dilakukan agar dapat keluar dan mengelakkan fenomena lompat parti daripada terus berlaku.

Mengulas lanjut, Noor Amin menjelaskan bahawa beliau kurang bersetuju dengan keputusan untuk membuat ‘recall election’ seperti yang akan diusulkan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said.

“Saya sedikit kurang bersetuju dengan cadangan untuk melakukan ‘recall election’ walaupun semangatnya adalah untuk memastikan ahli politik yang dipilih ada tanggungjawab terhadap pengundi.

“Jika perkara tersebut dilaksanakan, berdasarkan pembacaan saya, pengundi yang perlu mulakan perkara tersebut dan ini menyusahkan rakyat yang mengundi di kawasan tersebut,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  67  =  75