Akta 265 dalam proses dipinda untuk bela nasib pekerja p-hailing

 Akta 265 dalam proses dipinda untuk bela nasib pekerja p-hailing

Datuk Awang Hashim, Timbalan Menteri Sumber Manusia

KUALA LUMPUR, 3 Dis — Kementerian Sumber Manusia dalam usaha menjaga kebajikan pekerja p-hailing kini dalam proses meminda Akta Kerja 1955 (Akta 265) bagi memperjelaskan takrifan berhubung pekerja dan majikan.

Timbalan Menterinya, Datuk Awang Hashim, berkata ketika ini, pekerja dalam sektor p-hailing tidak diliputi di bawah undang-undang itu.

Katanya, liputan Akta 265 adalah khusus kepada pekerja yang ditakrifkan di bawah Jadual Pertama Akta 265, iaitu yang memasuki kontrak perkhidmatan dan bersetuju untuk berkhidmat dengan majikan.

“Kerajaan mengakui buat masa ini pekerja p-hailing tidak diliputi dibawah undang-undang buruh seperti Akta Kerja 1955 (Akta 265) khusus kepada pekerja yang ditakrifkan dibawah jadual yang memasuki kontrak perkhidmatan dan bersetuju untuk berkhidmat dengan majikan.

“Akta 265 tidak meliputi kontrak (for service) sebagaimana dimetrai pekerja yang terlibat dengan kontrak bebas seperti sektor p-hailing.

Walau bagaimanapun bagi menjaga kebajikan mereka, Jaringan Keselamatan Sosial bagi pekerja sektor p-hailing disediakan dibawah Skim Pekerjaan Sosial Sendiri (SKSPS-2017) Akta 789 yang dikuatkuasakan oleh PERKESO bermula 1 Oktober 2021.

“Pekerja dalam sektor ini dikehendaki secara mandatori mendaftar dan mencarum dibawah Akta 789 sebagai salah satu pelan bagi memastikan kategori tersebut mempunyai perlindungan sosial.

“Ini kerana mereka merupakan golongan yang berisiko mengalami kemalangan semasa menjalankan pekerjaan.”

Pihak kementerian kini dalam proses meminda Akta 265, katanya.

Zuan Azmi

zuan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  1