Aiskrim jadi umpan pujuk suntik vaksin

 Aiskrim jadi umpan pujuk suntik vaksin

Pelatih PPDK Tunas Sri Teruntum terpaksa dipegang ketika suntikan vaksin COVID-19 dilakukan pada program vaksinasi khas golongan istimewa.

KUANTAN, 2 Julai – Aiskrim menjadi antara umpan untuk memujuk pelatih Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Tunas Sri Teruntum untuk menerima suntikan vaksin COVID-19 pada program vaksinasi khas golongan istimewa, di sini semalam.

Pada program berkenaan seramai 46 pelatih berusia antara 18 hingga 36 tahun termasuk 12 petugas menerima vaksin jenis Sinovac bagi dos pertama. Program diadakan dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan.

Program berkenaan seramai 46 pelatih berusia antara 18 hingga 36 tahun termasuk 12 petugas menerima vaksin jenis Sinovac bagi dos pertama.

Penyelia PPDK Tunas Sri Teruntum, Noraishikin Alias, 47, berkata, pelbagai ragam dapat dilihat sepanjang program vaksinasi berkenaan yang turut dibantu keluarga pelatih serta petugas termasuk beberapa jururawat.

Menurutnya, urusetia terpaksa memegang lima pelatih dewasa yang terlalu takut melihat jarum suntikan, namun dengan pengalaman serta kemahiran jururawat bertugas suntikan dapat diberikan dengan selamat.

Katanya, seorang pelatih mendakwa dia geli melihat jarum suntikan menyebabkan timbul perasaan takut yang amat sangat, namun selepas dipujuk akhirnya dia selamat menerima suntikan.

“Selepas selesai dos pertama semalam, bagi program dos kedua akan diberikan pada 27 Julai akan datang yang juga diadakan di PPDK Tunas Sri Teruntum.

“Saya bersyukur program vaksinasi khas golongan istimewa semalam berjalan lancar dan tidak berhadapan banyak masalah, cuma beberapa kes pelatih terpaksa dipegang,” katanya.

Beliau menambah, sokongan dan kerjasama penjaga yang turut sama hadir membantu memujuk pelatih berjaya melancarkan program berkenaan yang diharap dapat mengelak pelatih daripada dijangkiti wabak COVID-19.

Mohd Shahril menerima suntikan vaksin COVID-19 pada program vaksinasi khas golongan istimewa.

 

 

 

Noraishikin berkata, PPDK Tunas Sri Teruntum di bawah seliaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang menyediakan tempat kepada pelatih yang mengalami kecacatan fizikal, mereka diberi kemahiran dalam pelbagai bidang seperti jahitan dan masakan.

Menurut seorang pelatih yang cacat fizikal sejak lahir, Mohd Shahril Alias, 36, dia berasa takut apabila melihat jarum namun lega apabila suntikan ia tidak terlalu sakit.

“Saya bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang tidak pernah meminggirkan golongan orang kelainan upaya (OKU) seperti kami, vaksinasi COVID-19 tetap diberikan sama seperti insan normal lain.

“Dengan vaksinasi yang diterima saya berharap peratus jangkitan COVID-19 dapat dikurangkan, kami juga sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan menggunakan pelitup separuh muka selain sentiasa mencuci tangan,” katanya yang menetap di Bukit Setongkol.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

41  −  36  =