Aidilfitri hari kemenangan, hikmah puasa Ramadan hiasi kehidupan

 Aidilfitri hari kemenangan, hikmah puasa Ramadan hiasi kehidupan

Krediti foto FB Amazing Terengganu

 

Oleh Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim

BULAN Ramadan datang dan pergi adalah perkara biasa. Namun peringatan Rasulullah SAW mengenai “Berapa ramai orang yang berpuasa, yang tidak mendapat sesuatu apa pun, selain dari lapar dan dahaga” merupakan satu peringatan yang serius. Kenapakah ibadat yang mendapat pahala dan balasan baik dari Allah SWT, tiba-tiba menjadi sia-sia? Renung dan fikirkanlah dengan ilmu dan hati sendiri.

Ketibaan tahun 2020 dengan pandamik COVID-19 mungkin telah memberikan sedikit cahaya yang dapat menggambarkan pesanan Nabi Muhammad SAW di atas. Ini adalah mengenai bagaimana ujian dan dugaan Allah yang diberikan sebelum ini nampaknya tidak pernah mengajar manusia supaya memahami dan melaksanakan dasar tamadun dan peradaban mengikut kerangka ajaran al-Quran dan perutusan Nabi Muhammad SAW.

Oleh itu, COVID-19 biarlah menjadi deringan loceng yang menyedarkan manusia ini tentang salah laku mereka selama ini. Umat ini perlu menyedari akan kelalaian dan kelemahan mereka selama ini dalam melaksanakan perintah Allah yang sewajarnya di dalam semua aspek kehidupan mereka sepanjang hayat. Berpuasa saban tahun sepetutnya dapat mengubah sikap dan agenda hidup kita seperti yang seharusnya.

Kita perlu menstrukturkan semula kehidupan kita dalam semua aspek, menurut kandungan doa Nabi Ibrahim ketika berdoa kepada Allah SWT supaya dibangkitkan rasul akhir zaman (Surah al-Baqarah ayat 129) “Wahai Tuhan kami, utuskanlah kepada mereka seorang Rasul dari kalangan mereka sendiri, yang akan membacakan kepada mereka ayat-ayat Kamu, dan mengajarkan mereka isi kandungan kitab (al-Quran) serta hikmah kebijaksanaan dan membersihkan (hati dan jiwa) mereka. Sesungguhnya Engkaulah yang maha kuasa lagi maha bijaksana.”

Lalu Allah SWT mengutuskan Nabi Muhammad SAW dari bangsa Arab, untuk mengajar kandungan al-Quran dari segi pembacaan, pengajaran, hikmat ilmu pengetahuan dan kebijaksnaan (wisdom) sehingga membersihkan jiwa dan hati manusia keseluruhannya.

Kita sendiri dapat menyaksikan bahawa ketika pihak keselamatan negara menjaga dengan ketat lautan dan daratan negara, memeriksa kenderaan berbagai bentuk yang bergerak di atas jalan dan lautan serta udara, memeriksa sempadan dan hutan belantara kita. Namun sehinggakan di dalam Ramadan ini pun, terdapat banyak kesalahan dan dosa dilakukan di sana sini, banyak kejadian rasuah, penyeludupan orang dan barang larangan, banyak kelakuan yang bertentangan dengan adab budaya, malah ajaran agama sendiri yang dilakukan.

Hal ini menandakan bahawa perkara mungkar dan terlarang ini telah berlaku selama ini dengan berleluasa, siang dan malan, pagi dan petang malahan oleh umat yang mengaku bertuhankan Allah SWT, yang beragama Islam, yang menunjukkan tentang agama dalam hidup luarannya. Maka, oleh kerana negara memerlukan pengawasan yang ketat ketika semua ceruk rantau dunia ini menghadapai pandamik COVID-19 ini, rupa-rupanya hal ini berlku dengan hebat sekali di dalam duni ini.

Sebab itulah Nabi kita mengingatkan bahawa walau pun seorang itu berpuasa, ibadat yang mengajar manusia beramanah dan bertakwa, jujur dalaman dan luarannya, namun terdapat juga walau pun hanya segelintir, orang yang melakukan ibadat yang penting ini masih melakukan dosa. Terutamanya ketika terlindung dari pandangan orang lain, sedangkan ketika berpuasa, seorang itu tidak akan makan dan minum, walau pun dia hanya berseorangan di dalam bilik sendiri, kerana ikhlas kepada Allh SWT.

Oleh itu, sambutan hari raya yang menghampiri kita sekarang, hendaklah kita rayakan dengan penuh insaf dan amanah terhadap diri sendiri untuk taat dan ikhlas terhadap Allah SWT. Ini kerana mutu hidup fitrah, asal kejadian kita ialah mempunyai integriti, bahawa kita melakukan perkara yang betul mengikut agama kita,. Walau pun tidak ada orang yang melihatya, kita berani menegakkan kebenaran tanpa mengenali kata ‘tidak’, malah bercakap dan berlaku benar berdasarkan keyakinan kepada perintah Allah dan RasulNya.

Raikan hari raya dengan penuh insaf dan kesedaran. Jadikan ibadat puasa sebagai pengajaran untuk memulakan hidup baru yang beramanah dan bersih, tanpa terjadi seperti pesanan Nabi kita, bahawa puasa hanya memberikan kita berlapar dan dahaga sahaja, tanpa mendapat keredaan Allah SWT.

Allah SWT menguji kita dengan cabaran penyakit yang tidak pernah kita rasakan. Penyakkit yang amat menduga dan mencabar kehidupan kita, yang mencegah kita dari pergerakan bagi tujuan yang baik, merayakan Aidilfitri seperti biasa di dalam dan di luar negara, di kalangan keluarga dan sanak saudara, serta kawan rakan yang rapat. Tetapi hari raya kali ini hanya di rumah, bersedih dan bermuram sebab jauh dari emak bapa dan keluarga.

Jika pandamik COVID-19 akan cuba dihapuskan denagan vaksin, maka sifat buruk kita kepada Allah hendaklah kita bersihkan dengan pengajaran yang kita dapati dari berpuasa. Berpuasa hanya diwajibkan selama sebulan di dalam setahun, namun biarlah hikmah dan rahsianya menjadi hakikat dan pengajarannya seumur hidup, menjadi way of life atau cara hidup kita sepanjang zaman.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, maaf lahir batin.

Penulis ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia dan mantan Ketua Pengarah IKIM.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  9  =