Ahli UMNO perlu terus sokong PN, stabilkan kerajaan hadapi pandemik

 Ahli UMNO perlu terus sokong PN, stabilkan kerajaan hadapi pandemik

Datuk Zahidi Zainul Abidin

KUALA LUMPUR, 3 Ogos — Ahli UMNO diminta terus menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang ditubuh hasil kerjasama strategik diatur secara bersama oleh parti itu, BERSATU dan PAS terutama ketika negara kini memerlukan kerajaan yang stabil dalam mengharungi pandemik COVID-19.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata ia juga selaras keputusan dibuat pada Perhimpunan Agung parti itu yang lepas bahawa hubungan dengan PN hanya akan diputuskan selepas Pilihan Raya Umum.

Beliau berkata sesungguhnya UMNO tidak akan mengkhianati kerjasama strategik PN berkenaan yang turut telah memberikan kepercayaan dengan melantik ahli parti itu sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Dalam keadaan ombak, ribut dan badai, UMNO tidak akan menebuk bahtera untuk ditenggelamkan,” katanya dalam sidang media pada Selasa.

Terdahulu, Zahidi menerima memorandum sokongan terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin daripada 15 badan bukan kerajaan (NGO).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia itu juga berkata kerajaan PN masih lagi stabil dan didukung oleh majoriti Ahli Parlimen daripada PN, Barisan Nasional serta rakan dari Sarawak dan Sabah.

“Kerajaan PN akan kekal fokus kepada tanggungjawab kita kepada rakyat dan negara untuk menyokong Pelan Pemulihan Negara yang menggariskan strategi jelas mengenai hala tuju peralihan keluar negara daripada cengkaman pandemik secara berfasa,” katanya.

Fazlan

fazlan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

35  −  28  =