Ahli politik perlu faham konsep Keluarga Malaysia

 Ahli politik perlu faham konsep Keluarga Malaysia

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Ahli Politik sama ada dari blok kerajaan ataupun pembangkang perlu memahami konsep dan nilai Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Penganalisis Politik Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr. Romzi Ationg berkata, ahli politik sendiri perlu memahami dan mendalami konsep serta nilai keluarga yang ingin dibawa oleh Perdana Menteri untuk diterjemahkan kepada rakyat.

“Sekiranya ahli politik sendiri tidak memahami konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, bagaimana Perdana Menteri ingin terjemahkan konsep ini kepada rakyat?

“Jadi ini adalah perkara asas yang perlu dilakukan untuk menentukan hala tuju konsep itu sama ada menjadi sebuah kerajaan yang harmoni ataupun cacamarba,” katanya dalam program Pentas Wacana yang disiarkan secara langsung di platform Youtube dan Facebook Wacana.my pada sabtu.

Mengulas lanjut, Romzi berkata, idea Perdana Menteri untuk mewujudkan Keluarga Malaysia adalah satu perkara yang positif seiring dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mewujudkan satu situasi politik yang baharu yang lebih matang.

Menurut beliau, idea tersebut perlu disambut baik oleh semua ahli politik dan diterjemahkan dengan penuh tanggungjawab supaya idea itu tidak menjadi retorik semata-mata.

“Setiap ahli politik perlu memainkan peranan dan melaksanakan tanggungjawab masing-masing untuk memastikan idea yang dibawa Perdana Menteri ini dapat diwujudkan.

“Rakyat sudah muak dengan situasi politik yang menekan satu pihak dan tidak menentu dan mereka inginkan perubahan.

“Jadi ini adalah peluang untuk negara kita keluar dari belenggu politik lama seiring dengan titah Seri Paduka Baginda yang menginginkan satu situasi politik baharu yang lebih matang dan berpaksikan kepada ketelusan serta keharmonian,” katanya.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

20  −  16  =