Ahli persoal keikhlasan Zahid di dalam UMNO

 Ahli persoal keikhlasan Zahid di dalam UMNO

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Oleh Serayu Suria

KUALA LUMPUR, 28 Mac – Hari kedua dan terakhir Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) disifatkan semakin suram oleh sebahagian ahli UMNO yang mula hilang keyakinan terhadap presiden parti itu.

Bercakap kepada Wacana.my, seorang setiausaha bahagian UMNO mahu namanya dirahsiakan bagi mengelak sebarang tindakan oleh parti keramat orang Melayu itu.

“Saya amat kesal dengan keputusan MT UMNO menggantung keahlian Tun Faisal (Tun Faisal Ismail Aziz ) atas kelantangan beliau menegur Presiden UMNO,” katanya.

Menurut sumber itu, Tun Faisal tidak pernah didapati bersalah atas isu politik wang, tidak didakwa di mahkamah dan tidak mendedahkan rahsia parti.

“Hanya kerana beliau menyatakan kebenaran tentang masalah dalam parti, beliau digantung selama 6 tahun!” katanya lagi.

Ditambah dengan laporan media yang menyatakan ada pihak menghalang laporan berkenaan beberapa isu berkaitan politik semasa negara, PAU2020 sama sekali tidak seperti yang diadakan sebelum ini.

“UMNO sudah jauh tersasar dari matlamat dan perjuang asal. Saya amat berharap ahli UMNO buka mata dan ambil berat isu ini,” katanya.

Ditanya mengenai kesungguhan UMNO yang mahukan pilihan raya umum dilakukan segera, sumber tersebut mendakwa ia adalah demi kepentingan Zahid Hamidi semata-mata.

“Zahid terdesak mahu kekal dalam kuasa dan beliau berharap jika UMNO menang PRU kali ini, secara automatik beliau kekal sebagai presiden UMNO dan seterusnya mendapat jawatan Perdana Menteri.

“Namun nasib Zahid kini ibarat untung sabut timbul, untung batu tenggelam,” katanya.

Sumber itu turut menyentuh bagaimana bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menyerlah ketika PAU2020 kali ini seperti sudah dilupakan oleh Zahid sendiri.

“Lihat sahaja Datuk Seri Najib Razak pun sudah tidak kuasa nak memberi apa-apa sindiran terhadap Zahid, dan Najib lebih jinak di media sosial sejak kebelakangan ini, mungkin beliau fokus kepada kes mahkamahnya dahulu, dan malas mengambil tahu soal Zahid,” katanya.

Semalam, media melaporkan Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO membuat keputusan menggantung keahlian Timbalan Ketua UMNO Putrajaya, Tun Faisal Ismail Aziz.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Pilihan Raya UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.

Tun Faisal yang juga Setiausaha Akhbar Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebelum ini dilihat menentang Zahid.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  3  =  1