MP DAP tidak setuju kerajaan kemukakan rayuan kes kewarganegaraan

 MP DAP tidak setuju kerajaan kemukakan rayuan kes kewarganegaraan

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR, 14 Sept — Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh kecewa dengan keputusan Kerajaan untuk mengemukakan rayuan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi minggu lepas berkenaan hak ibu mendapat kewarganegaraan untuk anak yang lahir di luar negara.

Beliau turut mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri gagal dalam ujian 100 hari untuk mempertahankan konsep keluarga besar Malaysia

” Peguam Negara Idrus Harun memaklumkan kepada media bahawa notis rayuan telah dikemukakan.

” Menteri Undang-undang Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar juga turut menggambarkan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut sebagai ‘memberi sinar’ yang menerangkan dengan jelas peruntukan dalam perlembagaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum itu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Rina Harun dilaporkan mengalu-alukan keputusan mahkamah secara terbuka.

Rina menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai, ‘memberi sinar baharu kepada aspirasi kelestarian insaniah wanita nasional’.

Beliau turut menambah bahawa keputusan tersebut mencerminkan komitmen Kerajaan mahu mewujudkan kesamarataan untuk golongan wanita.

Yeoh berkata, keputusan peguam negara kali ini jelas bertentangan dengan kenyataan Menteri Wanita sebelum ini.

” Maka kita juga tertanya-tanya adakah ini sebuah Kerajaan yang berkepala dua atau satu lagi contoh kes Menteri Wanita yang tidak memahami tanggungjawabnya dalam memperjuangkan hak kesamarataan bagi golongan wanita,”

Beliau menyeru kepada Perdana Menteri supaya segera mengarahkan Peguam Negara untuk menarik balik keputusan mengemukakan rayuan serta memastikan Kementerian Dalam Negeri menghormati dan melaksanakan keputusan Mahkamah Tinggi.

” Episod ini sahaja sudah cukup menggambarkan terdapat begitu banyak keputusan yang tidak konsisten dalam kabinet beliau dan kelemahan yang paling ketara adalah kegagalan Kerajaan ini melindungi wanita dan kanak-kanak,” tegasnya,

Tambah Yeoh lagi, konsep keluarga besar Malaysia Perdana Menteri kini sedang diuji dan tercemar dengan keputusan yang tidak masuk akal dan kejam oleh Peguam Negara sehingga menimbulkan kesengsaraan dan kekecewaan kepada ramai ibu dan keluarga mereka.

” Ini adalah ujian 100 hari Ismail Sabri bagi membuktikan bahawa beliau mampu untuk menjinakkan kerajaan pelbagai kepala dan membawa kelegaan kepada para ibu dan anak-anak mereka yang menderita,” katanya.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  11  =  15