• Sunday, 20 June 2021, 2:33 pm

Aguero ‘ditawan’ Barcelona

 Aguero ‘ditawan’ Barcelona

BARCELONA, 1 Jun. – Penyerang prolifik Argentina, Sergio Aguero mengikat kontrak selama dua tahun dengan Barcelona selepas kontraknya bersama juara Liga Inggeris, Manchester City, tamat pada penghujung bulan ini.

Sergio Aguero  kini milik Barcelona –Kredit foto The Guardian

Pemindahannya sekali gus menamatkan tempoh sedekadnya bersama City, manakala kelab baharunya menetapkan klausa pembelian sebanyak 100 juta Euro (RM504 juta) ke atas pemain berusia 32 tahun itu.

Namun, dia tidak pasti sama ada Lionel Messi akan menjadi rakan sepasukannya selepas kapten kelab itu belum menandatangani sebarang penyambungan kontrak bersama kelab gergasi Eropah itu.

“Sudah pasti saya gembira dan teruja nikmati aksi kami bersama. Jika dia kekal di sini yang saya rasa dia akan lakukan, kami akan berusaha yang terbaik untuk kelab seperti selalu dilakukannya.”

“Harapnya kami dapat beraksi bersama. Keputusan kini di tangan Leo,” kata Aguero kepada wartawan di Camp Nou selepas sesi perkenalan di stadium terkenal itu.

Sergio Aguero ketika menjalani ujian kecergasan Krediti foto website rasmi FC Barcelona

Barca berharap kehadiran Aguero di kelab itu dapat meyakinkan rakan senegaranya untuk terus kekal ketika mereka berdepan kemerosotan prestasi selain krisis kewangan.

Messi kelihatan begitu semangat untuk meninggalkan Barcelona sejak awal musim lalu tetapi membuat ‘u-turn’ selepas diugut untuk dibawa ke mahkamah kerana melanggar kontrak.

Skuad bimbingan Ronald Koeman menduduki tangga ketiga La Liga musim ini dan menanggung hutang 1.2 bilion euro (RM6.05 bilion).

Mereka disingkirkan Paris Saint-Germain dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara malah mungkin berdepan hukuman UEFA selepas enggan menarik diri daripada projek Liga Super Eropah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *