Agong zahir tahniah kejayaan Pavit juarai Pidato Umum Antarabangsa

 Agong zahir tahniah kejayaan Pavit juarai Pidato Umum Antarabangsa

Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah

KUALA LUMPUR, 17 Mei — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menzahirkan ucapan tahniah kepada pelajar muda Malaysia, Pavit Coran atas kejayaan muncul johan Pertandingan Pidato Umum Antarabangsa English Speaking Union (ESU) yang diadakan secara maya pada Jumaat lepas.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas pencapaian cemerlang Pavit, 19, penuntut Universiti Multimedia kampus Melaka itu kerana berjaya mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

“Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan semoga kejayaan beliau menjadi sumber inspirasi kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya golongan pelajar dan belia untuk bekerja keras dan berusaha mencapai kejayaan cemerlang dalam bidang masing-masing,” menurut kenyataan dimuat naik di Instagram Istana Negara hari ini.

Al-Sultan Abdullah turut menzahirkan ucapan selamat maju jaya kepada Pavit dan mendoakan beliau dilimpahi kejayaan cemerlang serta terus mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa hadapan.

Pavit yang mewakili English Speaking Union of Malaysia (ESUM) muncul johan selepas menewaskan 35 lagi peserta dari 33 negara.

Dalam ucapan selama lima minit itu, Pavit bercakap mengenai peningkatan jumlah mereka yang mengalami kemurungan di seluruh dunia dan menggesa masyarakat serta kerajaan memberi perhatian terhadap isu tersebut.

“Ini merupakan kali kedua Malaysia memenangi anugerah Pemidato Terbaik pada kejohanan tahunan itu selepas Marina Tan pada tahun 2011. Tahniah,” menurut kenyataan itu.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

5  +  5  =