• Thursday, 17 June 2021, 12:38 pm

ADUN Permas gesa atasi segera tanah runtuh di Taman Scientex

 ADUN Permas gesa atasi segera tanah runtuh di Taman Scientex

Che Zakaria (dua dari kanan) dan penduduk melihat kawasan tanah yang terhakis dan membahayakan keselamatan di belakang sebuah rumah di Taman Scientex, Pasir Gudang, semalam

Oleh Nurman Nasyriq

PASIR GUDANG, 10 Jun – Kebimbangan penduduk mengenai masalah tanah runtuh di belakang rumah mereka di Jalan Kedidi 1 dan 31 Taman Scientex, di sini mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas, Datuk Seri Che Zakaria Mohd Salleh.

Semalam beliau membuat lawatan ke Jalan Kedidi 1 dan Jalan Kedidi 31 yang teruk terhakis selepas menerima aduan mengenai perkara berkenaan.

Beliau meminta Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (SUKJ) Bahagian Perumahan, Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) dan pemaju segera menangani masalah tersebut yang membahayakan keselamatan penduduk.

“Keretakan jelas kelihatan bukan sahaja dalam rumah tetapi luar dan belakang rumah sehingga bahagian bawah lantai berlubang.

“SUKJ dan MBPG yang meluluskan projek perumahan ini perlu turun melihat keadaan ini dan membuat tindakan segera sebelum sebarang perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum itu penduduk di kedua-dua jalan tersebut menyuarakan kebimbangan mereka ekoran keadaan tanah runtuh yang berlaku sejak awal Januari lalu akibat musim tengkujuh.

Menurut mereka, pemaju menggunakan batu kerikil dan memancang kayu bakau di Jalan Kedidi 1 serta menggunakan kanvas menutup kawasan tanah runtuh di Jalan Kedidi 31.

Apabila keadaan semakin teruk dan kanvas dipasang koyak serta reput, beberapa aduan dibuat kepada pemaju dan MBJB tetapi tiada sebarang tindakan susulan dibuat hingga kini.

Che Zakaria berkata, kerja-kerja membaiki tanah runtuh di Jalan Kedidi 1 juga perlu dilaksanakan segera kerana batu kerikil dan kayu bakau yang diletakkan tidak sesuai dan membahayakan penduduk terutamanya golongan kanak-kanak.

“Pihak berkenaan tidak boleh lepas tangan kerana masalah tersebut merupakan tanggungjawab mereka dan kerisauan kira-kira 5,000 penduduk di kedua-dua jalan itu yang rata-ratanya golongan B40 adalah berasas,” katanya.

Sementara itu, pegawai perhubungan awam syarikat perumahan tersebut tidak dapat dihubungi hingga kini untuk mendapatkan penjelasan.

Nurman Nasyriq

http://wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *