ADUN Larkin umum keluar BERSATU

 ADUN Larkin umum keluar BERSATU

JOHOR BAHRU – Selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang umum keluar parti kelmarin, kini giliran ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad mengikuti jejaknya. 

Selain meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) berkuat kuasa serta-merta, Mohd. Izhar turut mengumumkan akan menyertai UMNO.

Beliau berkata, keputusan itu diambil dengan berat hati setelah parti hilang hala tuju dan gagal meneruskan perjuangan agenda penubuhan parti tersebut. 

Menurutnya, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap yang lebih baik, bahkan tidak berusaha memulihkannya selepas berpisah dengan kumpulan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Sikap ini bukan sahaja merencatkan perkembangan parti, malah menjejaskan ideologi perjuangan parti, sekali gus memberi kesan kepada rakyat khususnya orang Melayu dan kepentingan Islam.

“Dengan kata lain, faktor lain saya mengambil keputusan itu ialah hilang kepercayaan kepada Muhyiddin.

“Demi kestabilan politik dan rakyat negeri ini, saya menyeru semua pengundi dan penyokong saya khususnya dalam DUN Larkin untuk memberi undi kepada calon Barisan Nasional (BN),” katanya dalam sidang media, di sini hari ini. 

Kelmarin, Mazlan yang juga Ketua BERSATU Bahagian Tebrau mengumumkan melepaskan jawatan dan meninggalkan parti BERSATU.

Mazlan dalam sidang media berkenaan turut memberitahu ada beberapa lagi pemimpin BERSATU akan mengikut jejaknya keluar daripada parti berkenaan. 

Mengulas lanjut, Mohd. Izhar memberitahu tidak akan mempertahankan kerusi DUN Larkin atau bertanding di mana-mana kawasan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Katanya, BN di bawah pimpinan Datuk Ir. Hasni Mohammad perlu diberikan peluang untuk terus mentadbir negeri ini demi kestabilan politik.

“BN perlu diberi laluan untuk memerintah bagi memastikan usaha untuk membantu rakyat keluar daripada pandemik dan kemelut ekonomi dapat dilaksanakan,” katanya.  – ENDS

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

71  −  66  =