Aduan tidak lengkap, JPJ sukar ambil tindakan ke atas pemandu, penunggang p-hailing

 Aduan tidak lengkap, JPJ sukar ambil tindakan ke atas pemandu, penunggang p-hailing

KUALA LUMPUR, 29 Ogos — Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sukar mengambil tindakan ke atas pemandu atau penunggang p-hailing ekoran kebanyakan aduan yang diterima tidak lengkap, kata Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ Aedy Fadly Ramli.

Beliau berkata tindakan saman boleh dilaksanakan dengan lebih efektif, jika orang ramai mengemukakan bukti kukuh seperti rakaman video atau gambar, nombor plat, masa dan tempat kejadian, bagi memudahkan penguatkuasaan dilaksanakan, termasuk saman bagi kesalahan berkaitan trafik dan lain-lain lagi.

“Kebanyakan aduan yang kami terima terutamanya di media sosial ialah penunggang atau pemandu p-hailing melanggar lampu isyarat atau melalui laluan bertentangan dengan aliran trafik di jalan sehala.

“Apabila ada bukti kukuh yang jelas, kami akan menjalankan siasatan dan apabila kesalahan itu telah terbukti, kami akan saman,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan operasi khas Ops Patuh COVID-19 di Jalan Tasek, yang turut disertai Pengarah JPJ Perak Mohammad Yusoff Abustan di sini semalam.

Sementara itu, Aedy Fadly berkata setakat ini, enam kompaun berjumlah RM36,000 dikeluarkan JPJ Perak ke atas bas kilang pekerja yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

Menurutnya antara kesalahan yang dikenal pasti ialah membawa penumpang melebihi kapasiti 50 peratus, tidak menyediakan kod QR aplikasi MySejahtera dan tiada alat pengimbas suhu.

Dalam pada itu, beliau berkata dalam operasi khas selama kira-kira dua jam itu, yang berakhir 12 tengah hari semalam, sebanyak 64 notis kesalahan direkodkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, gagal mempamerkan pelekat kenderaan P dan L serta cermin gelap.
— BERNAMA

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  4  =  6