Ada dalang bawa ADUN keluar BERSATU?

 Ada dalang bawa ADUN keluar BERSATU?

JOHOR BAHRU 30 Jan 2022 – Ada parti politik tertentu dipercayai menjadi dalang kepada beberapa siri beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Perikatan Nasional (PN) keluar parti sejak Khamis lalu.

Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri berkata, tindakan berkenaan dipercayai dilakukan untuk menjejaskan kewibawaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan tidak lama lagi.

“PN percaya ada parti politik tertentu menyediakan naratif berhubung tindakan beberapa ADUN BERSATU, termasuk ADUN Larkin, Datuk Mohd. Izhar Ahmad yang keluar parti semalam.

“Kita percaya ia kononnya dengan harapan untuk menjejaskan kewibawaan serta imej PN dan BERSATU pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

“Bagaimanapun, tindakan beberapa ADUN itu tidak memberi kesan kepada BERSATU melainkan ia sekadar memenuhi kehendak pihak yang mempengaruhinya berbuat demikian untuk melemahkan parti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mohd. Izhar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri mengumumkan keluar BERSATU berkuat kuasa serta-merta.

‘Episod’ keluar parti itu bermula pada Khamis lalu apabila Ketua BERSATU Bahagian Tebrau, Mazlan Bujang meletak jawatan sebagai ketua bahagian, sekali gus mengumumkan keluar parti berkuat kuasa serta-merta.

Mazlan yang juga ADUN Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi BERSATU Johor menyatakan tidak menyertai mana-mana parti, namun memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Dalam pada itu, Mohd. Solihan yang juga Ketua Penerangan BERSATU Johor berkata, Mohd. Izhar turut merasionalkan tindakan keluar BERSATU dengan memberi pelbagai alasan, termasuk parti sudah hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya.

“BERSATU Johor menyifatkan alasan Mohd Izhar keluar parti selepas mendakwa hilang kepercayaan kepada Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga tidak berasas, sebaliknya kerana beliau menganggap PN akan tewas dalam PRN Johor, sekali gus akan kehilangan jawatan Exco dan lantikan ahli lembaga pengarah syarikat kerajaan negeri.

“Justeru, Mohd. Izhar beranggapan dengan keluar BERSATU, peluang untuk menyertai parti tertentu dan kekal menjadi Exco adalah terbuka walaupun mendakwa tidak mahu mempertahankan kerusi DUN Larkin mahupun bertanding di mana-mana DUN lain pada PRN Johor kali ini,” katanya.


Tindakan dan dakwaan Mohd Izhar itu mencetuskan pelbagai persepsi negatif serta bakal memakan diri sendiri kerana dilakukan ketika DUN sudah dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRN diadakan dalam masa terdekat.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

63  −  58  =