Ada apa dengan nama PM?

 Ada apa dengan nama PM?
Oleh Rizal Jaapar

KEBELAKANGAN ini banyaklah perbincangan di kedai kopi dan di alam media sosial tentang nama sebenar Perdana Menteri kita yang dikatakan tidak sama dengan nama pada kad pengenalan beliau.

Saya terpanggil untuk membuat sedikit kaji selidik tentang isu nama ini kerana dua sebab. Pertama sebagai orang yang pernah melihat sendiri kad pengenalan beliau sebelum menjadi Perdana Menteri maka saya dapatlah sahkan bahawa nama yang tertera pada dokumen penting tersebut ialah Mahiadin dan bukannya Muhyiddin sebagaimana yang biasa kita lihat, sebut atau dengar. Kedua, saya ingin kaitkan isu ini dengan pengalaman peribadi yang barangkali kita semua pernah alami atau temui sendiri.

Arwah bapa saya bernama Jaafar, tetapi pada kad pengenalan beliau nama tersebut dieja sebagai Jaapar. Hal ini pada awalnya menyusahkan saya kerana saya tak suka ejaan Jaapar. Kelihatan tak canggih dan apabila disebut memang tak pernah berbunyi Jaapar pun. Saya paling tak gemar apabila terpaksa memperbetulkan ejaan nama ini kerana setiap kali saya sebut Jaapar, orang akan tetap tulis Jaafar juga. Akhirnya bila sudah acap kali kali sangat, saya akan perbetulkan siap-siap dengan berkata “Rizal bin Jaafar with a P!”.

Apabila saya tanyakan hal ini kepada abah dia jelaskan ketika dilahirkan dan namanya mahu didaftarkan bapanya memang menyebut Jaafar, kerana nama Jaafar ini pada waktu itu cukup popular dan sinonim dengan nama tokoh-tokoh besar agama seperti paman nabi sendiri Jaafar bin Abi Talib.

Abah lahir sebelum merdeka, iaitu pada tahun 1947 (kebetulan sama pula dengan tahun kelahiran PM kita). Abah jelaskan lagi pada waktu itu tulisan jawi masih digunakan secara meluas. Jaafar dalam jawi ditulis menggunakan huruf Jim, Ain, Fa dan Ra. Abjad Fa ini apabila dirumikan sepatutnya diganti dengan huruf rumi F. Malangnya apabila didaftar pada kad pengenalan sejurus selepas merdeka, pendaftar menggunakan huruf P pula kerana agaknya sudah terbiasa menyebut huruf Fa sebagai Pa. Barangkali juga kerana abah berasal dari Negeri Sembilan, tidak mustahil orang kampung menyebut “Jakpar” walaupun dia maksudkan Jaafar. Maka rasmilah abah dengan nama Jaafar with a P sepanjang hayatnya.

Jaapar setahu saya dalam bahasa Arab tidak mengandung sebarang mana, atau merujuk kepada mana-mana nama tokoh yang mahu dicontohi. Begitulah halnya dengan Mahiadin. Umum mengetahui perkataan Din pada nama-nama Melayu seperti Kamaruddin atau Sabaruddin bermaksud agama. ‘Muhyi’ dalam bahasa Arab bermaksud ‘orang yang menghidupkan agama’ atau dalam bahasa Inggerisnya Reviver of Faith. Sebaliknya nama ‘Mahia’ pula kebiasaannya diberikan kepada anak-anak perempuan yang bermaksud ‘hidup’ atau ‘tanah’, yang mungkin melambangkan kecantikan atau kesuburan.

Saya yakin bapa PM kita memberi nama Muhyiddin dan bukannya Mahiadin kerana nama itu bukan sahaja mengandung maksud yang baik tetapi juga merujuk kepada tokoh-tokoh agama yang hebat-hebat seperti tokoh sufi Sheikh Muhiyuddin Abu Muhammad Abdul Qadir al-Jailani, atau Maharaja Mughal ke-6 Muhiuddin Muhammad Aurangzeb Bahadur Alamgir.

Seperti abah, barangkali pendaftar nama yang mungkin kurang arif dengan tulisan jawi, telah mendaftar huruf Mim, Ha, Ya menjadi Mahia dan bukannya Muhyi sebagaimana yang diinginkan. Nama inilah yang kekal pada kad pengenalan beliau akhirnya, walaupun realitinya ia bermaksud Muhyiddin, dan kita akan tetap memanggil nama Muhyiddin dan tidak pernah sekalipun menyebut Mahiadin.

Nama adalah anugerah istimewa dan Islam menganjurkan umatnya memberikan nama-nama yang baik kepada anak-anak kerana nama itu merupakan sebahagian daripada doa. Nabi sendiri akan serta-merta menukar nama-nama sahabat yang tidak baik kepada nama yang lebih baik apabila mereka memeluk Islam, sebagaimana kota Yathrib dijenamakan semula menjadi Madinah. Sebagai individu yang datang daripada rantaian keluarga agamawan, saya yakin PM suka dengan nama Muhyiddin dan berhasrat untuk dipanggil dengan nama tersebut.

Berbalik kepada Jaapar with a P, saya tidak pernah cuba menukar ejaan pada kad pengenalan menjadi Jaafar with an F. Begitu juga dengan arwah abah yang walaupun sepanjang hayatnya dipanggil Jaafar nama pada kad pengenalan dan pada sijil matinya tetap dieja sebagai Jaapar. Apabila semakin dewasa, saya akur nama ini memberi nilai dan keunikan tersendiri kerana jika ada berjuta lelaki bernama Jaafar with an F, Jaapar with a P barangkali beberapa kerat sahaja (itu pun kerana kesilapan pendaftar kad pengenalan, agaknyalah).

Mengapa PM tidak terus tukar sahaja nama pada kad pengenalannya menjadi Muhyiddin? Atau gunakan nama Mahiadin sebagaimana yang tertera pada kad pengenalan beliau? PM sudah pasti ada sebabnya yang tersendiri, mungkin juga kerana mahu menghormati pemberian nama sebenar oleh Al-marhum ayahanda tercinta kepadanya.

Kesimpulannya, kita mungkin tidak dapat bersetuju dengan PM atas keputusan atau kemelut politik yang sedang berlaku, tetapi janganlah sampai kita hina-hinakan nama beliau, apatah lagi untuk menggunakan ejekan nama ini demi meraih markah politik atau populariti yang tidak seberapa.

Fokuskan kepada hasil kerja, dan sebutlah nama pemimpin dengan nama yang baik-baik, semoga doa-doa pada nama ini makbul dan kita yang biasa-biasa ini terhindar daripada mendapat dosa dan murka Ilahi.

(Semua yang dinyatakan dalam artikel ini adalah pendapat penulis dan tidak menggambarkan dasar atau pendirian rasmi Wacana.my)

 

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

3  +  1  =