Abot, Rambai, Alam & Kasturi jinakkan lebih 800 gajah liar

 Abot, Rambai, Alam & Kasturi jinakkan lebih 800 gajah liar

Dua gajah denak digunakan dalam setiap operasi menangkap gajah liar yang mencetuskan konflik.

JOHOR BAHRU, 12 Mei – Mungkin ada kalangan pembaca ingin tahu apa itu gajah denak yang turut dikenali sebagai gajah kerja. Ia berperanan sebagai gajah yang akan membantu petugas Jabatan PERHILITAN dalam operasi pemindahan gajah liar yang mencetuskan konflik ke habitat yang lebih sesuai.

Salman Saaban dalam satu operasi menangani gajah di zon konflik.

Lazimnya, dua gajah denak diperlukan untuk setiap operasi bagi menarik atau ‘menawan’ seekor gajah liar dari lokasi ia ditangkap hingga dibawa ke atas lori pemindah.

“Gajah denak akan menarik gajah liar yang telah diberi suntikan ubat anesthesia (pelalian) terlebih dahulu ketika proses pemindahan gajah liar yang telah ditangkap dari lokasi diikat ke dalam lori pengangkut,” kata Pengarah PERHILITAN Negeri Johor, Salman Saaban, kepada Wacana.my.

Walaupun terdapat antara 120 hingga 160 gajah Malaysia (Elephas maximus hirsutus) yang dikenal pasti mendiami hutan di Johor, namun pada masa ini tiada gajah denak ditempatkan di negeri ini. Sebaliknya, gajah denak ada di Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang, Pahang.

Kasturi, gajah denak PERHILITAN.

Gajah itu dilatih di pusat konservasi itu oleh empat kakitangan PKGK Kuala Gandah yang berkemahiran di dalam menjalankan latihan gajah liar untuk dijadikan sebagai gajah denak. Pihak jabatan juga pernah menggunakan khidmat pelatih yang Thailand bagi mengajar dan berkongsi teknik bagi melatih gajah.

Sesi melatih seekor gajah liar biasanya mengambil masa 6 hingga 12 bulan. Apabila umurnya mencapai tahap dewasa (gajah berumur 15 tahun ke atas) memerlukan lagi masa 1 hingga 2 tahun untuk dilatih gajah sebagai gajah denak dan layak untuk menyertai operasi pemindahan gajah.

Gajah yang telah dipilih sebagai gajah denak akan menjalankan latihan asas pergerakan pada peringkat awal di samping memahami arahan mahut (gembala) masing-masing. Latihan khusus seperti menarik beban, mengawal dan mengiringi gajah liar akan dijalankan selepas ia mahir dari segi kemahiran asas tersebut.

Rambai turut berkhidmat sebagai gajah denak.

Beliau berkata, apabila ada operasi tangkapan gajah liar di negeri lain, kakitangan PKGK Kuala Gandah bersama gajah denak akan dihantar ke lokasi bagi membantu proses pemindahan gajah liar yang ditangkap.

“Rekod setakat ini menunjukkan khidmat gajah denak dari PKGK telah dapat memindahkan tidak kurang 800 gajah dari zon konflik ke habitat atau santuari,” katanya.

Terdapat empat gajah denak buat masa sekarang yang terdapat di PKGK Kuala Gandah iaitu Abot (betina) yang berusia 25 tahun; Rambai (betina 38 tahun); Alam (jantan 24 tahun) dan Kasturi (betina 46 tahun).

Untuk ke lokasi operasi, gajah denak diangkut di atas lori 10 tan yang telah diubahsuai milik Jabatan PERHILITAN.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

14  +    =  18