Abnorma baru kita

 Abnorma baru kita

Selamat Tahun Baru!

Pejam celik kita dah sampai ke tahun 2021. Alhamdulillah, kita patut bersyukur kerana dipanjangkan usia dan dimurahkan rezeki dapat mengharungi segala dugaan yang dibawa tahun lalu yang sememangnya amat mencabar. Satu dunia tak kira bangsa, kuasa atau agenda melutut dek si virus halus yang kita langsung tak nampak, dan bukannya sebab bencana-bencana ‘seksi dan sensasi’ seperti peperangan kuasa-kuasa dunia, musibah alam macam gempa bumi, gunung berapi mega semua. Wawasan 2020 yang kita impikan sebagai utopia, menjadi realiti distopia yang ingin kita lupakan.

“So, what now?” bak kata orang putih.

Dengan bermulanya tahun baru ni, rasanya kebanyakan orang masih dalam keadaan pening-pening, samar-samar dan tak pasti apa yang akan berlaku. Ramai diantara kita yang terkesan dengan Covid-19, samada dari segi kehilangan sumber rezeki ataupun nyawa ahli keluarga dan sahabat handai, masih bertarung dengan kesusahan dan kerumitan. Mungkin segelintir juga yang mengalami “PTSD” (post-traumatic stress disorder), di mana tekanan mental dan emosi ini, jika tak ditangani boleh mendatangkan mudharat jangka panjang.

Walaupun vaksin Covid-19 dah siap diluluskan, ia akan ambil masa berbulan untuk sampai ke lengan setiap orang dalam populasi kita. Dengan kadar jangkitan yang masih meningkat setiap hari, kerajaan dah terpaksa hidupkan balik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP/MCO) yang sememangnya menjerut kehidupan ramai orang. Ia dah jadi pilihan antara ‘Lives Vs Livelihood’ (‘Nyawa Vs Ekonomi’). Tapi nak buat macam mana, kan? Buat, salah. Tak buat, lagi masalah!

Jadi, sabar aje la. Kita sebagai rakyat biasa ni, kalau nak hidup, kena bersifat macam air: kita ikut dan berubah bentuk mengikut keadaan. Kalau laluan lancar, kita mengalir laju. Kalau banyak halangan, kita tetap bergerak, tapi kita pandai-pandailah mengelak dan mencari lubang dan celah nak teruskan perjalanan. Itu lah “norma baru” kita sekarang, sementara kita nak berbalik kepada “norma biasa” sebelum Covid-19.

Tapi kan, dah kita tengah dalam keadaan macam ni, adakah kita terfikir tentang apakah “norma biasa” yang kita dah terbiasa menjadi lumrah sebelum tahun 2020 tu? Elok sangat ke norma biasa tu, dan patut ke kita kembali ke keadaan macam tu?

Cuba kita tengok balik, apa yang normal dalam masyarakat kita sebelum kita ‘didiam’ dan ‘dimandulkan’ oleh wabak ni. Rasanya, bukan semuanya elok pun. Kita kena bijak dan pilih juga apa yang kita nak ‘normalkan’ balik dalam hidup kita. Mungkin sebenarnya, wabak dan PKP ni adalah satu peluang terbaik untuk kita membentuk dan mengukir balik apa norma hidup yang kita patut impikan dan capai.

Sebelum PKP menjadi norma baru kita, ramai diantara kita sibuk mengejar rezeki tapi banyak mengabaikan perkara-perkara yang penting dalam hidup kita. Kita keluar rumah sebelum matahari sempat nak naik, dan hanya sampai rumah bila matahari dah terbenam. Itupun, telefon tak habis-habis berbunyi tentang hal-hal kerja.

Keluarga? Masa kualiti untuk bermesra dengan anak isteri? Ayah bonda? Masa untuk diri sendiri? Rekreasi? Kesihatan mental? Dah tolak ke tepi. Asyik-asyik alasan kita “nanti lah, bila ada masa”.

Dengan PKP, kita ‘dipaksa’ duduk rumah, dan terpaksa menjadi kreatif membuat kerja menerusi telefon, online dan mesyuarat virtual. Dengan bantuan teknologi, kita dapat terus mencari rezeki sambil dapat meluangkan masa dengan orang tersayang dan juga diri sendiri. Ada yang jumpa minat baru, yang seterusnya menjadi sumber rezeki yang lebih kena dengan personaliti, minat dan aspirasi diri.
Ada juga yang baru sedar, betapa toksiknya rutin hidup mereka sebelum ini, dengan karier yang memakan diri, tahap stres yang senyap-senyap boleh membunuh dan gaya hidup yang tak sihat.

Ramai diantara kita dah temui ‘gaya hidup baru’ yang lebih fleksibel, bahagia dan seimbang apabila dipaksa duduk di rumah. Banyak organisasi dan tempat kerja yang mendapati, tahap produktiviti pekerja tidak terjejas apabila mereka kerja di rumah, bahkan ramai pekerja didapati lebih bertenaga apabila mereka dapat meluangkan lebih masa bersama yang tersayang, membantu dalam hal rumahtangga serta menerokai hobi dan minat sendiri.

Banyak juga benda-benda ‘normal’ lain yang mungkin tak patut kembali. Sikap berboros dan berbelanja tak ikut bajet? Waktu kita susah di dalam PKP ni, kebanyakan kita cenderung untuk lebih berhati-hati dengan pengurusan kewangan, sebab takutkan ketidaktentuan kerja atau perniagaan. Kita banyak menyimpan dan mengurangkan perbelanjaan yang tak perlu. Mungkin kita patut ‘normalkan’ sikap ‘abnormal’ berhati-hati ni sampai bila-bila?

Fikir sendiri: apa lagi ýang kita boleh ubah, bagi meningkatkan kualiti hidup, rezeki dan kebahagiaan kita apabila tiba masanya kelak. Apa yang boleh kita simpan, dan apa yang patut kita buang. Rasa-rasanya, inilah ‘abnorma baru’ yang kita patut simpan, walaupun bila Covid-19 dah jadi sejarah dan kita kembali bangkit.

Irwan Abd Rahman
Ketua Pengarang
wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

77  −    =  74