251 penternak ikan kerugian lebih RM5.6 juta kerana banjir

 251 penternak ikan kerugian lebih RM5.6 juta kerana banjir

dav

KUANTAN, 14 Januari 2022 – Kerugian lebih RM5.6 juta dialami seramai 251 penternak ikan air tawar di negeri ini akibat bencana banjir akhir tahun lalu.

Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar (tengah) ketika melawat sangkar ikan di Temerloh.


Pengarah Jabatan Perikanan Pahang, Abdullah Jaafar berkata, jumlah kerugian dijangka terus bertambah apabila penilaian keseluruhan kemusnahan sangkar dan kolam dibuat tidak lama lagi.


Menurutnya, penternak akuakultur di negeri ini banyak terdapat di Temerloh, Jerantut, Bentong, Lipis, Maran dan Pekan. Banjir yang berlaku menyebabkan sangkar hanyut dan hilang, stor rosak serta kematian ikan termasuk ikan terlepas ke sungai Pahang.


Katanya, estet ikan yang merupakan tempat ternakan ikan yang dijaga serta diuruskan oleh ahli dalam komuniti di Estet Ikan Paya Chempaka (15 hektar), Estet Ikan Paya Lanar (25 hektar) dan Estet Ikan Paya Lubuk Kawah (31 hektar), Temerloh juga telah ditenggelami banjir menyebabkan ikan terlepas dan keluar daripada tasik berkenaan.


“Jabatan menjangkakan jumlah kerugian sebenar adalah lebih tinggi membabitkan semua daerah selepas aduan dan penilaian dibuat apabila bencana banjir surut sepenuhnya nanti.

Sangkar ikan yang di Temerloh yang musnah akibat banjir.


“Banyak sangkar ikan sepanjang Sungai Pahang di Temerloh, Jerantut, Lipis, Maran dan Pekan musnah dibawa arus deras air selain ditimpa pokok tumbang.


“Justeru, saya berharap penternak akuakultur dan juga nelayan darat dapat melaporkan butiran kerugian aktiviti perikanan mereka akibat bencana banjir kepada Jabatan Perikanan selepas ini,” katanya, di sini hari ini.


Beliau berkata, pihaknya akan melaksanakan semakan sebelum mengemukakan kepada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) untuk pertimbangan bantuan melalui Tabung Bencana Pertanian (TBP).


Abdullah menambah, jabatan simpati dengan apa yang dialami penternak dan pengusaha akuakultur di negeri ini, jabatan berharap mereka tabah serta bersabar menghadapi ujian yang tidak dijangka ini.


Tambahnya, di Temerloh sebanyak 490 sangkar dan kolam yang terjejas dengan kerugian kira-kira RM8,624,460, ini termasuk kawasan Kuala Krau kerugian dilaporkan lebih RM437,500 membabitkan sembilan pengusaha dengan 58 petak sangkar yang terjejas.


Katanya, pengeluaran akuakultur di daerah Temerloh tahun lalu sebanyak 2,500 tan bernilai kira-kira RM44.5 juta.
“Tahun lalu jumlah penternak akuakultur yang berdaftar di negeri ini seramai kira-kira 1,700 orang manakala nelayan darat seramai 380 orang.


“Pengeluaran akuakultur dan perikanan sungai di Pahang merupakan yang tertinggi di Pantai Timur dengan kira-kira 15,000 tan bernilai lebih RM246 juta bagi akuakultur serta kira-kira 787 tan bernilai kira-kira RM11.5 juta bagi perikanan sungai,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *