Malaysia perlu naratif baharu politik bangsa

 Malaysia perlu naratif baharu politik bangsa

 

Oleh Dato’ Nakhaie Ahmad

BERAKHIRNYA pemerintahan UMNO/BN selepas tewas dalam PRU14 menandakan bermulanya fasa baharu dalam pembinaan negara dan pembentukan acuan kenegaraan Malaysia serta acuannya.

Kejatuhan pemerintahan UMNO/BN berlaku dengan begitu tragis sekali. Kejayaan perjuangannya meraih kemerdekaan berakhir dengan kegagalan membina dan mencorak kenegaraan Malaysia mengikut acuan sebagaimana yang digariskan dalam Perlembagaannya. Hasrat membina negara Malaysia yang berjati diri berteraskan budaya peribumi dan inklusif terhadap budaya asing yang tiada elemen chauvanis dan kolot, tidak berjaya ditegakkan.

Adalah diakui kerajann UMNO/BN berjaya memacu kemajuan kebendaan yang membawa negara ini menuju sebuah negara moden, tetapi gagal membina masyarakat di mana kemakmurannya dimiliki bersama oleh rakyat. Yang terpinggir dalam arus permodenan itu ialah orang Malayu dan kaum Bumiputra Sabah dan Sarawak.

Selain itu, kemajuan yang dicapai adalah rapuh kerana tidak didokong atau ditunjangi budaya tinggi yang kukuh. Budaya cacamerba hasil kemajuan tanpa jati diri menyuburkan amalan tidak bermoral dan korup serta berpolitik berpaksikan kepentingan diri sendiri.

Pakatan Harapan yang menggantikan UMNO/BN bukan alteratif yang mendokong naratif baharu yang diperlukan. Bahkan tindakan politiknya memperlihatkan elemen chauvanisme melampau dan keinginan balas dendam yang menyakitkan masyarakat peribumi.

Justeru, politik Malaysia memerlukan naratif baharu untuk memacu kemajuannya.

Untuk menghasilkan naritif baharu jangan takut kepada Islam. Index Islamic dapat dicapai oleh negara seperti New Zealand. Mengapa di dalam negara seperti Malaysia ada pula orang yang takut kepada Islam. Negara Jepun kini sedang mengkaji dengan serius konsep Islam Hadhari untuk mencari alterntif kepada tamadun materialisme yang banyak menimbulkan kepincangan di samping manfaat ekonomi dan teknologi.

Kita juga tidak harus takut kepada apa juga pemikiran bernas dari mana sekali pun untuk menggagaskan naratif baharu yang didambakan. Bagi saya, asas pembinaan naratif politik yang baharu ialah kembali kepada fitrah kejadian manusia. Kita dicipta Allah SWT sebagai hambaNya untuk taat dan patuh kepadaNya dan beribadah serta mengabdi diri kepadaNya.

Allah SWT memberikan peranan penting kepada manusia iaitu sebagai khalifah di bumi. Tugas khalifah adalah sebagaimana yang dinyataka olehNya. هو أنشأكم من الأرض واستعمركم فيها ( Dia yang mencipta kamu dari bumi dan menuntut kamu mengimarah di dalamnya) Dalam kerangka beribadah kepada Allah antaranya yang penting selain daripada amalan ritual ialah membangun bumi untuk menjadi tempat yang terbaik untuk manusia dan makhluk Allah yang lain tinggal di dalamnya.
Inilah asas kepada politik Islami dan politik kemanusiaan seluruhnya apabila kita merujuk kepada fitrah dan kepada tujuan kita diciptakan. Bertolak daripada sinilah kita harus mencurahkan tenaga dan pemikiran untuk mencipta naratif baharu dan membentuk serta menggagaskan teori dan praktis politik baharu bagi memacu pembangunan Malaysia dan acuan ketamadunannya yang dimiliki bersama oleh rakyat Malaysia.

Malaysia mesti dibangunkan sebagai sebuah negara maju dan makmur yang dinikmati kemakmurannya oleh semua lapisan rakyat secara adil dan saksama. Kemajuan dan kemakmurannya harus didokong oleh keutuhan budaya tinggi yang kukuh dan teguh. Tumpuan pembangunan tidak hanya kepada pembangunan infrastruktur canggih, pembinaan kemajuan sains dan teknologi, kelestarian ekonomi dan bangunan pencakar langit yang hebat, tetapi harus diberikan tumpuan yang sama kepada pembangunan budaya dan nilai-nilainya yang murni bagi memastikan jenis apa manusia yang tinggal di dalam Malaysia yang maju dan makmur itu.

Lain padang lain belalang. Malaysia tidak seharusnya membangun dalam kerangka sebuah negara maju hanya sebagai copy paste dari kemajuan dan pembangunan negara lain walau pun perlu belajar daripada negara negara tersebut.

Perlembagaan negara kita sudah cukup untuk menjadi kerangka kenegaraan mengikut acuan kita sendiri. Perlembagaan kita dirangka untuk negara ini dibentuk dengan sistem kenegaraan Raja Berpelembagaan yang demokratik dengan kerajaan yang dipilih rakyat dan jaminan hak rakyat pribumi serta Islam adalah agama negara dan kebebasan beragama adalah terpelihara. Bahasa rasmi adalah bahasa Melayu.

Kerangka kenegaraan ini harus dipertahankan sebagai acuan kenegaraan yang menjadi asas ketaatan segenap lapisan rakyat.

Untuk memulakan perjalanan naratif baharu ini, kita memerlukan kerajaan yang kuat, adil dan berintegriti yang kukuh dan teguh serta peduli rakyat. Kerajaan yang berpaksi ilmu dan kebijaksanaan bagi menyelesaikam masalah rakyat dan negara. Kerajaan yang memimpin rakyat ke arah perpaduan. Kerajaan yang bertindak tegas menghapuskan rasuah dan jenayah untuk memelihara keamanan dan kesejahteraan rakyat.

Penulis ialah veteran politik dan pendakwah.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  43  =  45