Hormati pemimpin bijak selesaikan masalah, tidak bebankan rakyat

 Hormati pemimpin bijak selesaikan masalah, tidak bebankan rakyat

Salah seorang pemimpin yang disegani zaman ini, Nelson Mandela

Oleh Amran Zakaria

SESEORANG pemimpin mesti mempunyai kesedaran tinggi bahawa dia berhadapan dengan amanah Allah SWT. Pastinya setiap pemimpin akan ditanya mengenai tanggungjawab di akhirat kelak. Tidak ada sebarang makna kepada rakyat seandainya pemimpin cuai dari melaksanakan tanggungjawab atau tidak jujur dalam urusan rakyat.

Hakikat sebagai pemimpin bukan sesuatu yang perlu dibanggakan sehingga menjadi sesuatu yang teramat istimewa. Saidina Umar al-Khattab RA berpendapat, khalifah tidak boleh menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu yang membezakan dia dengan rakyat jelata sehingga tidak ada orang yang berani menegur pemimpin tersebut.

Ini akan membawa kepada kekacauan dan kemusnahan negara sehingga menyebabkan hubungan kasih sayang antara pemimpin dengan rakyat menjadi semakin jauh. Rakyat pula tidak menghormati pemimpin tersebut.

Pemimpin yang baik adalah daripada kalangan mereka yang bersederhana dan banyak memberi sumbangan kepada rakyat hinggakan rakyat merasai kehadiran pemimpin ini. Seseorang pemimpin mesti mengutamakan kehendak dan keperluan rakyat dengan melupakan soal memanfaatkan peluang yang ada demi kepentingan diri sendiri.

Percayalah, kepimpinan itu bukanlah satu kebanggaan. Bukan juga satu kehebatan dan bukan pula satu keseronokan. Kepimpinan adalah amanah yang dipertanggungjawabkan yang perlu kepada pelaksanaaan dengan penuh kejujuran. Amanah itu bukan dinilai dari keupayaan seseorang pemimpin itu berpidato dan beretorik yang memikat dan memukau atau menggunakan saluran yang ada untuk mengkritik tanpa mencerminkan dirinya sendiri.

Kepimpinan bermakna seseorang itu sedia menerima bebanan besar untuk dilaksanakan. Usah menganggap mudah dengan tugas sebagai seorang pemimpin sebelum menghulurkan leher untuk dijerut dengan bayangan tali dosa.

Prof Jules Masserman, seoang rakyat Amerika yang juga seorang tokoh dalam bidang psikoanalisis dari Universiti Chicago pernah memberi pandangan berkaitan pemimpin. Katanya: “Seseorang pemimpin perlu melaksanakan tiga fungsi iaitu memelihara kesejahteraan pengikut-pengikutnya, mewujudkan satu sistem sosial yang selamat lagi terjamin dan menyemai nilai kepercayaan untuk diikuti oleh pengikut-pengikutnya.”

Selepas mengutarakan kriteria-kriteriai ini, Profesor Jules Masserman telah memilih Nabi Muhammad sebagai seorang tokoh yang agung ‘… kerana  beliau  melaksanakan  ketiga-tiga  kriteria   ini.’

Seorang pemimpin wajar bersifat terbuka tetapi bijak mengawalnya dan bersedia menerima teguran serta nasihat. Prinsip kepimpinan sebegini telah dibuktikan, misalnya oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membuka ruang kepada rakyat supaya beliau ditegur sepertimana ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah Islam pertama menggantikan Rasulullah SAW.

Pemimpin dan tanggungjawab adalah dua hal yang tidak boleh dipisahkan. Sifat tidak bertanggungjawab dan mengalihkan kesalahan kepada orang lain hanya akan membuat seorang pemimpin itu tidak lagi efektif sebagai pemimpin kerana dia kehilangan timbang tara rakyat untuk tidak dihormati dan dipercayai.

Dalam permasalahan ini, Imam Ghazali ada mengemukakan beberapa ciri yang seharusnya ada pada diri seseorang pemimpin. Pertamanya, seseorang pemimpin seharusnya membayangkan dia berada dalam kedudukan orang yang diperintah dan memahami kedudukan rakyatnya supaya dia tidak melakukan perkara yang tidak diingini kepada diri sendiri.

Bermakna seseorang pemimpin semestinya dapat menjiwai kesusahan rakyat jelata dan berusaha menyayangi mereka seperti mana diri pemimpin itu sendiri.

Pemimpin yang bijak akan berusaha memenuhi keperluan rakyat dan tidak sesekali menyusahkannya. Pemimpin seperti ini tidak akan berdiam diri dan akan sentiasa memikirkan segala urusan yang berkaitan dengan rakyat yang dipimpinnya.  Denyut nadi rakyat sentiasa diperhatikan dan diutamakan.

Pemimpin seperti ini akan berusaha sedaya mungkin untuk menguasai keseluruhan denyut nadi rakyat termasuk segala aspek kehidupan rakyat di bawah urusan pentadbirannya. Sebab itu kita dapati bahawa Umar Al-Khattab apabila melihat ada seekor kambing mati, beliau didapati termenung, sedih dan risau sangat kalau-kalau kambing itu mati akibat kecuaiannya.

Gabenor kerajaan Islam di Mesir pada ketika itu adalah seorang sahabat bernama ‘Amr bin Al-‘As. Beliau dilaporkan membuat satu mimbar khas untuk dirinya di Mesir. Ini menyebabkan Umar al-Khattab menjadi marah lalu menghantar surat kepada ‘Amru yang menyebut: “Aku mendengar kamu telah membina satu mimbar agar boleh meninggikan dirimu dari umat Islam, adakah tidak cukup kamu berdiri dan mereka berada di kakimu, aku ingin kamu segera meruntuhkan mimbarmu.”

Islam telah menggariskan tanggungjawab dan amanah kepada sesiapa yang dipilih sebagai pemimpin. Mereka mesti bertanggungjawab kepada setiap perkara di bawah kepimpinanya dan sentiasa dalam keadaan merendah diri.

Seorang pemimpin wajar bersifat terbuka tetapi bijak mengawalnya dan bersedia menerima teguran serta nasihat. Prinsip kepimpinan sebegini telah dibuktikan misalnya oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq yang membuka ruang kepada rakyat supaya beliau ditegur sepertimana ucapan dasarnya selepas dilantik sebagai khalifah Islam pertama bagi menggantikan Rasulullah SAW.

Saidina Abu Bakar as-Siddiq berkata dengan bahasa yang penuh kasih kepada umat Islam: “Jika sekiranya kalian melihat saya melakukan kebaikan, bantulah saya dan jika sekiranya kalian melihat saya melakukan kesalahan, perbetulkanlah saya.”

Maknanya pemimpin yang berkesan bersedia menerima tanggungjawab di mana-mana posisi sama ada dia diberi kepercayaan untuk meneruskan kepimpinan atau bersedia menjadi pengikut yang baik ketika berdepan dengan suasana yang selesa mahupun suasana yang mencabar kepimpinannya.

Manakala rakyat usah menjadi golongan pendesak yang sentiasa tidak berpuas hati dengan apa jua tindakan pemimpin. Menyerahkan kepimpinan bermakna menyakini kemampuan dan keupayaan pemimpin mentadbir negara. Amat tidak wajar seandainya rakyat memilih pemimpin kemudian tidak boleh menerima pendekatan yang baik untuk dilaksanakan demi rakyat dan negara. Rakyat usah bertindak seolah-olah meletakkan diri bagaikan ‘seorang pemimpin yang bijak dan cekap dalam mentadbir negara’ kerana peri laku sedemikan boleh menyumbang kesan huru-hara dalam pentadbiran.

Rakyat boleh membantu pemimpin dengan memberi sumbangan untuk keamanan negara. Negara yang aman apabila pemimpin dan rakyatnya dapat bekerjasama dalam satu pasukan. Dalam negara tidak ada dua atau tiga pasukan. Ini boleh memporak-perandakan negara kerana masing-masing tidak berketuakan pemimpin yang dipilih. Asas kepimpinan dalam Islam ialah mentaati pemimpin tersebut selagi dia ‘tidak mengajak rakyat kepada kemaksiatan.’

Penulis ialah penganalisis sosiopolitik semasa.                                                                            

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

90  −  84  =