896 AEFI berkaitan dos penggalak diterima, 42 serius – KP Kesihatan

 896 AEFI berkaitan dos penggalak diterima, 42 serius – KP Kesihatan

KUALA LUMPUR, 22 JAN 2022 – Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan sebanyak 42 kes sampingan serius kesan advers susulan imunisasi (AEFI), berkaitan dos penggalak, setakat 15 Januari lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata statistik itu berdasarkan daripada 896 kes membabitkan 24,286 laporan manakala baki mengalami kesan sampingan minimum.

“Kalau dilihat jumlah dilaporkan itu, 0.4 untuk setiap 1,000 dos diberikan, bagi dos penggalak adalah 0.1 untuk 1,000 dos diberikan manakala kesan sampingan teruk ialah 0.05 bagi 1,000 dos diberikan,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen, di sini.

Yang turut hadir, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Timbalannya, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.

Dalam perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata sebanyak 9.2 juta dos penggalak direkodkan sudah diberikan kepada penerima bagi tempoh sama.

Gambar hiasan

Mengulas mengenai laporan miokarditis dalam kalangan kanak-kanak, beliau berkata hanya satu hingga tiga kes bagi setiap 100,000 kanak-kanak mendapat kesan miokarditis hasil vaksinasi, namun akan menjadi 36 kali ganda lebih tinggi untuk mendapat miokarditis sekiranya tidak divaksin.

Mengulas isu AEFI membabitkan banduan Penjara Kajang, Dr Noor Hisham berkata 13 daripada 18 laporan yang diterima selesai disiasat dan dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Farmakovigilan Khas Vaksin COVID-19 (JFK) pada 12 Jan lalu.

“Hasil penilaian JFK berdasarkan laporan siasatan diterima, 10 daripada kes itu (selesai disiasat) dikenal pasti bukan disebabkan vaksin yang diterima banduan.

“Bagi tiga laporan lagi, kesan advers hanya berkemungkinan berlaku disebabkan oleh vaksin yang diambil,” katanya.

Katanya, baki lima laporan lagi termasuk yang membabitkan kematian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Khairy pula berkata setiap laporan AEFI melalui proses terperinci bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan termasuk bedah siasat dan pandangan klinikal sebelum mengesahkan sama ada kes disebabkan vaksin atau sebaliknya.

Ditanya mengenai kebimbangan masyarakat berhubung dos penggalak yang dikaitkan dengan beberapa berita kematian yang tular dalam media sosial, Khairy berkata KKM akan mengeluarkan semua data AEFI berkaitan dos penggalak.
.
Beliau menambah, sebahagian besar berita yang tular tiada kaitan dengan vaksinasi dan KKM akan menjalankan siasatan rapi terutamanya membabitkan kes kematian.

fhatihah Zakinan

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

37  −    =  31