89 kemalangan babitkan bas pekerja

 89 kemalangan babitkan bas pekerja

Ayob Khan (tengah) melakukan pemeriksaan dalam Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas, Johor Bahru, hari ini

JOHOR BAHRU – Sebanyak 89 kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja dilaporkan berlaku sejak Januari hingga Oktober lalu di negeri ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, pihaknya juga pada masa sama turut mengesan pelbagai kesalahan dilakukan pemandu sepanjang tempoh tersebut.

Antaranya, melibatkan penyalahgunaan dadah, memandu di bawah pengaruh alkohol dan mengabaikan aspek keselamatan sehingga mendatangkan bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

“Dalam satu kejadian pada 21 Oktober lalu, kita menerima aduan sebuah bas pekerja dipandu secara melulu dan berbahaya di kawasan perindustrian Tebrau. Apabila disiasat, pemandu terbabit positif dadah jenis methamphetamine. 

“Susulan itu, hari ini operasi bersepadu dijalankan di lima kawasan Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) seluruh Johor untuk memeriksa beberapa aspek, antaranya pemandu dan kenderaan digunakan,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyertai Operasi Bersepadu Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Polis Johor di Taman Impian Emas.

Sementara itu, ujian air kencing yang dijalankan terhadap 20 pemandu dalam operasi itu mendapati dua daripada mereka yang berusia 54 dan 34 tahun positif dadah jenis methamphetamine dan ganja.

“Dalam operasi terbabit juga, polis telah mengeluarkan 42 saman dengan 27 daripadanya berkaitan ketiadaan lesen memandu.

“Daripada 27 saman lesen terbabit dua pemandu tiada lesen memandu langsung, manakala 25 lagi tiada lesen Kenderaan Perdagangan dan Lesen Vokasional (GDL dan PSV) selain tiada alat pemadam api serta tiada tanda isyarat segi tiga keselamatan,” ujarnya.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengeluarkan 26 saman, enam notis dan empat kompaun atas kesalahan berkaitan asap dan bunyi kenderaan.

Dalam pada itu, Ayob Khan berkata, terdapat segelintir pengusaha yang menggaji pemandu warga asing, membawa penumpang melebihi kapasiti had permit bagi mengurangkan kos dan menyewa permit dan bas kilang kepada pihak ketiga.

Johor mencatat sebanyak 144 kes kemalangan jalan raya melibatkan bas pekerja tahun lalu.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

69  +    =  77