859 Orang Asli dikuarantin terima bantuan MUIP

 859 Orang Asli dikuarantin terima bantuan MUIP

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman mengagihkan bantuan keperluan asas kepada penduduk Orang Asli di Pos Menson.

Oleh Mohd Fikri Mie

CAMERON HIGHLANDS, 21 April – Seramai 859 masyarakat Orang Asli di Pos Menson dan Pos Telanok, di sini yang sedang dikuarantin berikutan wabak COVID-19 menerima bantuan keperluan asas.

Bantuan diserahkan Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sebagai usaha meringankan beban golongan berkenaan yang tidak dapat bekerja selama 10 hari.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, bantuan turut diberikan kepada penduduk Orang Asli di beberapa penempatan di kawasan pedalaman.

Menurut beliau, kebanyakan ketua keluarga masyarakat Orang Asli yang menetap di Pos Menson dan Pos Telanok bekerja di kebun sayur di mana gaji mereka dibayar mengikut hari bekerja. Berikutan dikuarantin, mereka hilang pendapatan dan bekalan makanan terputus.

Katanya, dalam keadaan sekarang menjadi tanggungjawab MUIP menghulurkan bantuan keperluan asas seperti beras, minyak masak, biskut, tepung, gula dan telur.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman (kiri) mengagihkan bantuan kepada penduduk Orang Asli di Kampung Orang Asli Leryar.

“Pos Menson dan Pos Telanok masih dalam pemantauan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Cameron Highlands berikutan terdapat kes jangkitan COVID-19 penduduk di situ sebelum ini.

“Bantuan keperluan asas yang disalurkan diharap dapat bertahan sepanjang tempoh kuarantin,” katanya selepas turut sama mengagihkan bantuan kepada penduduk di Pos Menson, Kampung Orang Asli Leryar dan Pos Telanok,kelmarin.

Program agihan selama dua hari bermula kelmarin turut disertai Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Daerah Cameron Highlands dan Penggerak Masyarakat Orang Asli JAKIM (PMOA) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Asmadi menambah, sebelum ini MUIP mengagihkan bantuan bencana kepada 2,500 ketua isi rumah (KIR) di 13 lokaliti di daerah Pekan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Terdapat kira-kira 12,000 penduduk di 13 lokaliti berkenaan, bantuan bernilai RM125,000.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

17  +    =  18