76% rakyat mahu peraturan terhadap vape

 76% rakyat mahu peraturan terhadap vape

Gambar hiasan

Oleh Mohd Kamal Ahmad

 

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Sebahagian besar rakyat Malaysia berkata, kerajaan harus mengambil tindakan lebih menyeluruh untuk mengawal selia industri vape di negara ini.

Satu tinjauan pendapat baru-baru ini menunjukkan, 76 peratus bersetuju bahawa ekonomi Malaysia akan mendapat manfaat daripada peraturan terhadap produk vape.

Maklumat ini dikumpulkan menerusi tinjauan Malaysian Insights & Perspectives on Vape, yang merupakan tinjauan pendapat kendalian Green Zebras, sebuah syarikat penyelidikan pasaran terkemuka, atas permintaan Malaysian Vape Industry Advocacy (MVIA).

Presiden MVIA, Rizani Zakaria berkata: “Tinjauan pendapat ini menunjukkan kebanyakan rakyat Malaysia mahukan pengawalseliaan terhadap produk vape. Laporan rasmi daripada Kementerian Kesihatan menunjukkan, terdapat lebih 1 juta pengguna vape di negara tetapi tiada peraturan digubal untuk mengawal selia industri, menyebabkan pengguna tiada pilihan kecuali menggunakan produk yang tidak dikawal selia.”

Beliau berkata, laporan yang diterbitkan baru-baru ini oleh sebuah kumpulan industri tempatan mengesahkan, industri vape mempunyai potensi besar untuk menyumbang kepada ekonomi Malaysia dengan keupayaan untuk mewujudkan peluang pekerjaan, membangunkan perniagaan dan PKS sedia ada dalam industri, serta menarik pelaburan. Hakikat ini tidak boleh dinafikan dan kerajaan mesti bertindak segera untuk memperkenalkan peraturan bagi mengawal selia produk vape.”

Tinjauan tersebut juga mendapati, 87 peratus rakyat Malaysia bersetuju bahawa cukai patut dikenakan ke atas produk vape manakala  74 peratus pula berpendapat hasil yang dikumpulkan daripada produk vape boleh dibelanjakan oleh kerajaan dalam bidang penting seperti pendidikan dan ekonomi.

“Pelaksanaan cukai eksais ke atas produk vape sejak awal tahun ini adalah satu langkah  tepat ke arah mengawal selia industri. Ramai bersetuju,  cukai patut dikenakan ke atas produk vape kerana hasil yang dikumpulkan boleh dimanfaatkan dengan sewajarnya. Bagaimanapun, struktur cukai eksais semasa tidak termasuk e-cecair vape bernikotin, yang membentuk sebahagian besar daripada pasaran tempatan. Ini bermakna kutipan hasil tidak akan dimaksimumkan, dan pelaksanaan duti eksais adalah tidak berkesan.”

“Kerajaan harus meluaskan struktur cukai untuk merangkumi e-cecair vape bernikotin dan memperkenalkan peraturan jelas bagi produk ini. Dengan cara ini, kerajaan boleh memaksimumkan kutipan hasil dan pada masa sama memastikan pengguna dapat menggunakan produk yang dikawal selia,” kata Rizani.

Tinjauan ini bertujuan memahami persepsi rakyat Malaysia terhadap penggunaan vape dengan meminta pandangan orang ramai mengenai kesan ekonomi penggunaan vape dan kaedah mengurangkan mudarat daripada tembakau. Penemuan lain daripada tinjauan MVIA akan didedahkan kemudian.

Tinjauan ini membabitkan saiz sampel 1,025 dewasa Malaysia dan mencerminkan persepsi golongan di seluruh negara.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

97  −    =  93