• Sunday, 20 June 2021, 8:36 am

75% rakyat Malaysia ada simpanan RM1,000 sahaja

 75% rakyat Malaysia ada simpanan RM1,000 sahaja

KUALA LUMPUR, 11 June. – Statistik Bank Negara Malaysia mendapati 75 peratus atau 24 juta daripada rakyat Malaysia hanya mempunyai simpanan sebanyak RM1,000 sejak sebelum bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurut Timbalan Presiden Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM), Norsyahrin Hamidon, majoriti daripada 75 peratus berkenaan adalah dari golongan B40 dan M40 yang paling teruk terkesan akibat penutupan pelbagai industri.

“Kita boleh nampak kesan PKP yang bersiri ini kepada golongan B40 dan M40, kesengsaraan dan kesusahan yang mereka alami selama PKP ini perlu diambil perhatian. Bayangkan keadaan mereka yang hanya memiliki RM1,000 sepanjang PKP 1.0 tahun lepas.

“Selain itu, pihak kami juga mendapati kebanyakan peniaga tidak boleh bertahan lebih dua bulan akibat tidak dapat beroperasi sepanjang PKP 1.0,” katanya pada temu bual rancangan ‘Anekdot – Menilai PERKASA PLUS’ di Facebook Dialektika TV, semalam.

Katanya, PKP ‘lockdown’ yang dibuat kerajaan pada PKP 1.0 dan PKP 3.0 telah menyebabkan orang ramai tidak berbelanja sekali gus memberi kesan kepada perniagaan tempatan.

Selain itu, beliau juga mengatakan bahawa sepanjang ‘lockdown’ berkuatkuasa, hasil pulangan bagi beberapa sektor perniagaan adalah sifar sekali gus memberikan tekanan kepada peniaga dan usahawan.

“Bayangkan jika PKP diteruskan selama lebih sebulan. Peniaga bukan sahaja kena bayar pelbagai kos overhead seperti gaji pekerja dan sewa, malah mempunyai pulangan yang kosong kerana tidak dibenarkan untuk beroperasi.

“Disebabkan pandemik, berniaga bukan lagi dianggap untuk mengumpul harta tetapi bagi memastikan kelangsungan hidup harian. Kalau boleh biarlah bantuan diteruskan kerana tiada orang boleh menjangka berapa lama PKP akan diteruskan,” katanya.

Tambah Norsyahrin, pihaknya berharap kerajaan dapat memberi tempoh anggaran yang tepat bagi penguatkuasaan PKP supaya usahawan dapat merancang urusan perniagaan dengan lebih awal.

Di samping itu, beliau turut mengharapkan pihak bank dapat meneruskan atau memberikan moratorium automatik kepada semua rakyat Malaysia yang memerlukan sepanjang pandemik ini.

“Bank tetap untung berbilion ringgit walaupun moratorium pertama dibuat. Ini kerana lebih RM77 bilion wang KWSP yang dikeluarkan rakyat melalui i-Sinar digunakan untuk membayar hutang,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Shabudin Yahaya berkata keputusan ‘lockdown’ adalah berdasarkan nasihat agensi yang telah dipertanggungjawabkan seperti Kementerian Kesihatan dan Majlis Keselematan Negara.

Beliau yang juga merupakan salah seorang ahli panel pada temu bual itu mengatakan pelbagai aspek penting telah diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat.

Katanya, pihak kerajaan sedar dan prihatin dengan apa yang dilalui rakyat termasuk masalah yang ditanggung usahawan yang dianggap sebagai tunjang kepada kekuatan negara.

“Kerajaan sentiasa fokus dalam isu-isu terkini terutamanya isu kesihatan dan kebajikan rakyat dan akan lakukan yang terbaik untuk menjaga rakyat.

“Mengenai moratorium, kerajaan telah mengkaji dan berbincang bersama Bank Negara Malaysia (BNM) selain mengharapkan pihak bank menjadi lebih proaktif mengenai pemberian moratorium,” katanya.

Inisiatif PEMERKASA PLUS yang diumumkan kerajaan awal bulan lalu dilihat mampu memberikan sedikit rasa lega kepada rakyat Malaysia, terutamanya kepada golongan B40 dan M40. Namun timbul satu persoalan sama ada bantuan yang diberikan ini cukup sepanjang tempoh PKP yang tiada siapa tahu penghujungnya. Ada kemungkinan golongan yang terkesan sejak sebelum bermulanya PKP di negara ini memerlukan lebih banyak bantuan daripada kerajaan untuk tempoh yang lebih lama lagi.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *