• Monday, 21 June 2021, 1:54 am

7,200 divaksin menerusi Program Rintis Vaksinasi Bergerak

 7,200 divaksin menerusi Program Rintis Vaksinasi Bergerak

KUALA LUMPUR 11 JUN 2021. Seorang petugas di Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah membantu seorang penerima vaksin masuk ke dalam pusat vaksinasi bergerak di Flat PKNS Sungai Baru. WMY/Supian Ahmad

Oleh Supian Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Jun – Seramai 7,200 individu selesai menerima dos vaksin pertama COVID-19 menerusi Program Rintis Vaksinasi Bergerak MYMedic@Wilayah hari ini.

Antara penduduk yang terlibat dalam program yang diadakan bermula pagi tadi termasuk di PPR Seri Gombak Setia, PA Desa Rejang, PA Seri Jeher dan Flat PKNS Sungai Baru.

Kesemua penduduk di kawasan itu akan menerima vaksin mereka secara berperingkat sehingga Ahad ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dalam satu kenyataan media berharap program berkenaan dapat mencapai tahap imuniti kelompok pada tempoh yang lebih awal di empat Projek Perumahan Rakyat (PPR) MTEN / Perumahan Awam (PA) DBKL.

“Program rintis vaksinasi bergerak pada hari ini memberi fokus kepada individu yang telah mendaftar dengan memberi keutamaan kepada warga emas dan Orang Kurang Upaya (OKU).

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa (kiri) hadir di Program Rintis Vaksinasi Bergerak MyMedic@Wilayah di Flat PKNS Sungai Baru. WMY/Supian Ahmad

 

“Pemberian vaksin telah dijadualkan mengikut slot yang dinyatakan di dalam aplikasi MySejahtera masing-masing,” katanya.

Tambah Annuar, sebanyak empat unit pusat vaksin bergerak MYMedic@Wilayah digunakan dengan setiap satu trak diletakkan di setiap lokasi dengan kapasiti 1,800 dos vaksin.

Proses vaksinasi pula bermula jam 9 pagi hingga 4 petang dan dijadualkan selama tiga hari.

Untuk memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, pergerakan penerima vaksin akan dikawal selia oleh anggota PDRM, APM, Penguatkuasa DBKL, WATANIAH dan RELA.

Terdahulu, pelaksanaan projek ini bermula sejak 7 Jun lalu di PPR Kg. Muhibbah hasil kerjasama strateqik KWP bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Yayasan Wilayah Persekutan (YWP).

Program itu merupakan salah satu daripada tujuh lnisiatif Wilayah Cakna 5.0 bagi memastikan 80 peratus warga Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur selesai divaksinasikan pada penghujung Ogos 2021.

Sasaran keseluruhan program imunisasi kepada semua warga PPR dan PA DBKL yang lain di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dijangka selesai keseluruhannya pada Oktober 2021.

Supian Ahmad

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *