70 anak yatim, asnaf teruja dapat beli baju raya baharu

 70 anak yatim, asnaf teruja dapat beli baju raya baharu

Mohd Fariz Azaman, 12, mencuba songkok baharu pada Program Pemilihan Pakaian Raya di bawah Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Prihatin

IPOH, 18 April — Keceriaan jelas terpancar di wajah 70 anak yatim dan asnaf dari dua pusat penjagaan anak yatim ketika memilih kelengkapan baju raya hari ini sebagai persiapan menjelang Syawal nanti.

Kesemua mereka dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin serta Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Harraz itu teruja memilih baju raya dari bermacam rona dalam suasana pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengelakkan penularan pandemik COVID-19.

Pekerja Econsave Jelapang Ainin Sofea Mohd Fetri (kiri) membantu memilih baju raya untuk kanak-kanak dari Pertubuhan Baitul Aini Anak-Anak Yatim dan Miskin Ipoh dan Pertubuhan Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Al Harraz

Seorang daripada mereka, Muhamad Saiful Nizam Abdullah, 13, berasa teruja membeli kelengkapan baju raya tersebut kerana sudah lama tidak mempunyai pakaian baharu.

“Saya seronok sangat dapat bersama kawan-kawan membeli-belah di sini. Sebelum ini saya pakai baju lama sahaja untuk berhari raya,” katanya ketika ditemui pemberita.

Syuhada Abdullah, 9, pula berkata sambutan Aidilfitri tahun ini sangat bermakna dan melahirkan kesyukuran kerana dapat membeli baju kurung yang diidamkan dan akan dipakainya pada pagi raya nanti.

Kesemua kanak-kanak itu diraikan hasil inisiatif Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dengan kerjasama Kelab Sukan dan Kebajikan Media Perak sewaktu membeli  baju raya di sebuah pasar raya semalam.

Pegawai Perhubungan Awam MBI Mohd Syahrizal Azmi berkata ini adalah satu lagi program tanggungjawab sosial (CSR) pihaknya dalam mendekati golongan kurang berkemampuan khasnya ketika kehadiran bulan mulia Ramadan dan Syawal nanti.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

67  −    =  57