7 kakitangan JPJ Johor ditahan babit ketirisan RM3.1 juta

 7 kakitangan JPJ Johor ditahan babit ketirisan RM3.1 juta

Oleh Nurman Nasyriq

JOHOR BAHRU 21 Feb: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor semalam menahan tujuh petugas kaunter Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu siasatan berkaitan urusan cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melibatkan lebih 1,000 jenis kenderaan bermotor.

Kakitangan JPJ negeri yang ditahan itu terdiri daripada lima lelaki dan dua wanita berusia antara 27 hingga 42 tahun.

Menurut sumber, semua kakitangan yang ditahan bertugas di JPJ Johor dan dipercayai memanipulasi sistem MYSIKAP bagi urusan cukai jalan LKM.

“Jumlah ketirisan kutipan cukai jalan JPJ Negeri Johor mencecah RM3.1 juta dalam tempoh enam bulan iaitu bermula Julai hingga Disember 2019,” kata sumber tersebut.

Kaunter hadapan JPJ dikenal pasti antara yang mudah terdedah kepada aktiviti jenayah terutamanya membabitkan rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Isu paling kerap berlaku ialah perbuatan salah guna kuasa oleh kakitangan dengan menceroboh sistem JPJ,” katanya sambil memberitahu semua suspek ditahan di Pejabat SPRM Johor.

Mengulas perkara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki yang kini berada di Johor Bahru bagi menghadiri mesyuarat bersama-sama SPRM Johor, mengesahkan tangkapan tersebut.

Menurutnya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi proses reman dan kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Beliau berkata, siasatan itu bermula hasil makluman dan kerjasama Bahagian Integriti dan Pejabat Ketua Pengarah JPJ.

“SPRM akan meneruskan kerjasama dengan JPJ agar langkah pematuhan dan penambahbaikan proses kerja dapat dilakukan sebagai langkah mengelakkan kegiatan rasuah ini berulang, khususnya menyebabkan ketirisan hasil kerajaan.

“Perkara ini telah dibincangkan dengan Ketua Pengarah JPJ sebelum ini dan perkongsian maklumat seumpama ini dapat meningkatkan integriti dan tadbir urus jabatan, sekali gus menutup ruang dan peluang rasuah,” katanya.

Azam turut menyeru supaya masyarakat yang berurusan di kaunter-kaunter jabatan supaya ambil peduli dan sentiasa memeriksa resit selepas melakukan urusan di kaunter atau pun ejen-ejen yang dilantik.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

6  +  1  =