69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah di Istana Negara hari ini

 69 Menteri, Timbalan Menteri angkat sumpah di Istana Negara hari ini

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Seramai 31 menteri dan 38 timbalan menteri dijangka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Istiadat yang dijadualkan bermula pukul 2.30 petang itu akan turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat, dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut dijangka berangkat pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Rahsia itu.

Ismail Sabri mengumumkan barisan Kabinet baharu termasuk empat menteri kanan di Jabatan Perdana Menteri Jumaat lalu.

Pengumuman itu dilakukan tujuh hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan di hadapan Seri Paduka.

Ahli Parlimen Bera itu dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan menggantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang meletakkan jawatan pada 16 Ogos selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan cadangan kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan parti politik.

Barisan kabinet baharu yang diumumkan Perdana Menteri mendapat kritikan awal pihak pembangkang yang melabelkannya kerajaan kitar semula kerana ada dikalangan ahli parlimen yang dilantik kali ini pernah dilabelkan sebagai ‘gagal’ menjalankan tanggungjawab ketika memegang jawatan menteri ketika dibawah kepimpinan Muhyiddin Yassin.

Sebelum itu ketua-ketua parti pembangkang membuat satu pertemuan dengan Ismail Sabri dan menyatakan persetujuan mereka dalam memperkasa fungsi Parlimen Malaysia sebagai institusi yang bertanggungjawab dan konstruktif, menyemak dan mengimbang tadbir urus eksekutif supaya lebih telus dan memenuhi kehendak rakyat.

” Kami juga bersetuju dan memahami peri pentingnya kebebasan badan kehakiman, reformasi institusi dan tatakelola kerajaan yang baik bagi memastikan keadaan yang lebih kondusif untuk rakyat dan negara dalam konteks ‘Keluarga Malaysia’,” katanya dalam satu kenyataan bersama ketua-ketua pembangkang.

suraya ali

suraya@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *