68 peratus golongan milenial guna platform pelaburan dalam talian – Rakuten Insight

 68 peratus golongan milenial guna platform pelaburan dalam talian – Rakuten Insight

KUALA LUMPUR, 24 April — Golongan milenial yang berusia antara 26 hingga 40 tahun merangkumi 68 peratus daripada mereka yang menggunakan platform pelaburan dalam talian tahun lepas, demikian menurut kaji selidik Rakuten Insight Malaysia.

Dalam satu kenyataan semalam, syarikat penyelidikan tersebut juga mendapati bahawa dalam kalangan pelabur runcit digital yang menjual beli ekuiti, jumlah dagangan tertinggi dicatatkan oleh kumpulan pelabur yang berusia antara 26 hingga 30 tahun.

Pengarah Negaranya Collin Leow berkata suasana ekonomi pandemik mencetus perubahan dalam amalan pelaburan dan simpanan dengan memanfaatkan capaian kepada teknologi.

“Walaupun kaji selidik ini bertujuan mendapatkan maklumat lanjut tentang kemunculan pelabur digital lebih muda dalam norma baharu, satu penemuan yang tidak diduga ialah pelaburan digital bukan hanya diceburi oleh golongan milenial, malah 32 peratus daripada pelabur terdiri daripada kumpulan yang berusia antara 40 dan 50 tahun.

“Kami juga mendapati bahawa peluang pelaburan yang mampu menjana pertumbuhan jangka panjang (45 peratus) dan pulangan jangka pendek (18 peratus) lebih popular dalam kalangan pelabur,” katanya.

Leow berkata, terdapat peningkatan 47 peratus dalam kalangan pelabur yang memilih pelaburan saham, manakala mereka yang memilih dana unit amanah dan dana bersama bertambah sebanyak 29.28 peratus.

Rakuten Insight juga melaporkan pola peningkatan aktiviti dagangan talian dalam kalangan pedagang sedia ada dengan lebih 44 peratus pelabur runcit meningkatkan aktiviti dagangan sepanjang tempoh sekatan pergerakan.

 

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

1  +  1  =