62 kampung Orang Asli di Pahang tenggelam banjir

 62 kampung Orang Asli di Pahang tenggelam banjir

Mangsa banjir di Kampung Orang Asli Batu 19, Bentong menerima bantuan keperluan asas.

KUANTAN, 25 Disember 2021 – Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang mendapati sebanyak 62 kampung Orang Asli di negeri ini ditenggelami banjir hingga menyebabkan terputus hubungan.


Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi berkata, seramai 565 ketua isi rumah (KIR) berpindah ke beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang dibuka.


Menurutnya, jumlah Orang Asli yang menjadi mangsa banjir sebenarnya ramai tetapi mereka tidak berminat untuk berpindah kerana tidak selesa berada di PPS selain pelbagai alasan lain.


Katanya, mereka lebih selesa menumpang rumah saudara selain tinggal di dalam khemah dan berada di kawasan bukit walaupun tanpa kemudahan.


“Setiap KIR Orang Asli yang berpindah ke PPS seperti balairaya dan sekolah menerima bantuan bakul makanan termasuk barangan lain yang dibekalkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Pahang, Johari Alwi (kiri) menyampaikan bantuan tilam angin kepada Orang Asli yang menjadi mangsa banjir di Bentong.


“Bagi yang tidak berpindah mereka masih berpeluang menerima bantuan keperluan asas yang diberikan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang prihatin dengan golongan terbabit,” katanya, di sini hari ini.


Beliau menambah, Jakoa turut memberi bantuan kepada mangsa banjir dalam usaha meringankan beban yang ditanggung oleh KIR namun bantuan berkenaan agak terhad disebabkan beberapa faktor seperti terputus hubungan dan tidak dapat berjumpa dengan mereka terbabit.


Johari berkata, sokongan dan kerjasama beberapa NGO seperti Projek Asal dan Volunteer Team (JPVT) dapat membantu mangsa banjir dikalangan Orang Asli yang terkesan kerana banjir.


Katanya, keprihatinan NGO terbabit terhadap mangsa banjir di Kampung Orang Asli Sungai Miak dan Kampung Orang Asli Batu 19, Bentong mereka menyumbang keperluan asas seperti makanan, bahan mentah, dapur memasak, kanvas, barangan kebersihan diri dan keperluan lain.


“Pejabat Jakoa Bentong juga tampil menyumbang enam unit tilam angin kepada penduduk Kampung Orang Asli Batu 19 yang rumah mereka musnah, mereka terpaksa berteduh dibawah khemah.


“Ini kali pertama Jakoa menyumbang tilam angin kepada masyarakat Orang Asli bagi keselesaan mereka yang berteduh dibawah khemah.


“Jakoa akan terus memantau perkembangan Orang Asli yang menjadi mangsa banjir dalam memastikan mereka tidak berhadapan masalah seterusnya dapat pulang ke rumah masing-masing apabila air surut sepenuh,” katanya.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *