6,000 pekerjaan ditawarkan di Johor dalam fasa Endemik

 6,000 pekerjaan ditawarkan di Johor dalam fasa Endemik

Izhar menjawab soalan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, Iskandar Puteri, hari ini

ISKANDAR PUTERI – Lebih 6,000 peluang pekerjaan ditawarkan dan disediakan bagi golongan pencari kerja, penganggur mahupun mereka yang diberhentikan kerja selepas COVID-19 memasuki fasa endemik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Mohd. Izhar Ahmad berkata, namun hanya 533 individu berjaya mendapat kerja menerusi pelaksanaan Program Latihan Kemahiran Johor, Program Gerak Kerjaya Johor dan hebahan jawatan kosong dalam platform media sosial jabatan kerajaan.

Berdasarkan data yang dikeluarkan menerusi EIS Centre Skim Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), terdapat 40,149 kekosongan jawatan ditawarkan di Johor hingga 29 Oktober lalu. 

“Sektor pembuatan mempunyai jumlah kekosongan yang tertinggi, iaitu 17,881  jawatan diikuti sektor penginapan dan sektor pengangkutan yanh masing-masing menawarkan sebanyak 5,081 dan 2,965 kekosongan jawatan.

“Menurut data yang diperoleh, sektor khidmat sokongan menawarkan kekosongan jawatan sebanyak 2,863, manakala sejumlah 2,577 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor pemborong dan peruncitan,” katanya menjawab soalan Md. Ysahruddin Kusni (PH-Bukit Gantang) pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar di sini hari ini.

Mohd. Izhar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)  Larkin berkata, selain itu, sebanyak 2,499 kekosongan jawatan bagi sektor profesional seperti setiausaha, kerani dan pembantu akauntan ditawarkan. 

Menurutnya, ini termasuk sektor lain perkhidmatan seperti pembantu jurujual, tukang gunting rambut serta pekerja binaan bangunan melibatkan 1,398 kekosongan jawatan. 

Di samping itu, sejumlah 1,110 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor pembinaan.

Bagi sektor kewangan dan insurans pula, beliau berkata, sejumlah 789 kekosongan jawatan ditawarkan bagi pekerjaan seperti pengurus jualan, pembantu akauntan dan lain-lain. 

Dalam pada itu ujarnya, sektor pendidikan pula menawarkan sejumlah 683 peluang pekerjaan bagi mereka yang berkelayakan, manakala sejumlah 634 kekosongan jawatan ditawarkan bagi sektor agrikultur. 

Sektor teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pula mencatatkan sebanyak 442 kekosongan jawatan seperti pembangun perisian, pemasar rangkaian serta pereka grafik, katanya.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *