6,000 belia digerakkan untuk bantu jayakan program vaksinasi

 6,000 belia digerakkan untuk bantu jayakan program vaksinasi

KOTA BHARU, 7 Mei — Seramai 6,000 belia telah digerakkan di seluruh negara dalam usaha untuk membantu menjayakan pemberian vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata kumpulan berkenaan akan membantu Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memberi penerangan kepada masyarakat terutamanya di luar bandar mengenai program vaksinasi itu.

Katanya, golongan itu juga akan menguruskan hal-hal pentadbiran berkaitan vaksinasi iaitu pendaftaran nama, semakan nama termasuk membawa masyarakat ke pusat vaksinasi.

“Mereka yang terlibat ini telah dilatih dan diberikan penerangan terlebih dahulu agar mereka dapat menjelaskan mengenai program vaksinasi ini kepada masyarakat dari rumah ke rumah dengan lebih jelas.

“Sebagai contoh, apa itu vaksin termasuk kesannya selain cara untuk mendaftar sebagai penerima vaksin menggunakan aplikasi MySejahtera atau membawa mereka mendaftar secara manual di pusat kesihatan daerah terdekat,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad Fayhsal berkata usaha itu juga dilakukan susulan pihaknya turut mendapati masih ramai masyarakat yang kurang jelas mengenai program vaksinasi itu.

“Ada (juga) yang bimbang mengenai hal-hal yang tidak sepatutnya seperti berlaku ‘blood clot’ dan sebagainya. Antara yang memerlukan khidmat penerangan ini ialah orang tua. Malah, saya lihat pendaftaran vaksinasi di Kelantan juga masih rendah terutamanya melibatkan golongan warga emas,” katanya.

Beliau berkata pihaknya yakin usaha menggerakkan belia itu dapat meningkatkan kadar pengambilan vaksin COVID-19 dalam kalangan masyarakat, sekali gus memastikan program vaksinasi mencapai matlamat.

“Petugas-petugas kesihatan tidak ada masa untuk perkara ini memandangkan mereka sudah terlalu sibuk mengurus di hospital jadi kami perlu bantu mereka. Selain itu, sukarelawan ini akan ditambah dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata pelaksanaan fasa kedua program vaksinasi sepatutnya diadakan pada 19 April namun diawalkan pada 17 April lepas.

Susulan itu, kempen pendaftaran perlu digiatkan kerana golongan berumur 60 tahun ke atas dan individu mempunyai komorbiditi hanya 30 peratus daripada tujuh juta rakyat yang sudah berdaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  3