569 bakul makanan untuk Orang Asli bandar

 569 bakul makanan untuk Orang Asli bandar

Pegawai Kemajuan Orang Asli (PKOAD) Daerah Kuantan, Ridwan Mokhtar (kanan) menyampaikan bantuan makanan kepada ketua isi rumah (KIR) Orang Asli di Pejabat JAKOA Daerah Kuantan. Foto WMY/Mohd Fikri Mie

KUANTAN, 14 Jun — Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) Pahang mengagihkan sebanyak 569 bakul makanan kepada ketua isi rumah (KIR) masyarakat Orang Asli di bandar yang terkesan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 serta Sekatan Pergerakan Penuh (SPP).

Pengarahnya Johari Alwi berkata, agihan dilakukan secara berperingkat diuruskan Pejabat JAKOA Daerah selepas menghubungi mereka selain hebahan menggunakan kemudahan media sosial.

Menurutnya, setiap KIA akan datang mengikut tarikh dan tempat ditetapkan untuk mengambil bakul makanan masing-masing, bantuan berupa keperluan asas itu dapat meringankan beban mereka terutama yang tidak dapat bekerja dan terjejas pendapatan.

Pegawai Kemajuan Orang Asli (PKOAD) Daerah Kuantan, Ridwan Mokhtar (kiri) Pegawai JAKOA Pahang, Mohd Zuhair Mdshah memilih barangan
bantuan makanan untuk ketua isi rumah (KIR) Orang Asli yang menetap di bandar Kuantan. Foto WMY/ Mohd Fikri Mie

Katanya, daerah ini mencatat jumlah tertinggi Orang Asli menetap di bandar membabitkan seramai 111 KIA diikuti Rompin (98), Muadzam Shah (94), Pekan (70), Temerloh (48), Bentong (46), Bera (32), Lipis (26), Maran (19), Raub (17), Cameron Highlands (10) dan Jerantut (8).

“Mereka yang menetap di bandar melakukan pelbagai kerja dalam sektor awam dan swasta, berikutan PKP 3.0 dan SPP mereka turut sama terkesan.

“Dimana juga masyarakat Orang Asli menetap kerajaan tetap menyediakan bantuan yang diperlukan,” katanya, di sini semalam.

Antara barangan yang disediakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar untuk masyarakat Orang Asli ialah beras, minyak masak, mee, kicap, garam, gula, sardin dan teh.

Ketua isi rumah (KIR) Masyarakat Orang Asli yang menetap di bandar Kuantan mengambil bantuan bakul makanan di Pejabat JAKOA Daerah Kuantan.

Bagi Nita Rashid, 37 yang menetap di Tanah Putih Baharu, di sini berkata bantuan bakul makanan kali pertama yang diterima dapat meringankan beban dia sekeluarga sepanjang PKP 3.0 dan SSP.

“Saya dapat gunakan bantuan ini lebih sebulan, sebanyak 20 kilogram beras dan pelbagai makanan lain diterima yang menjadi bukti keprihatinan kerajaan pada masyarakat Orang Asli.

“Saya bersyukur dengan bantuan yang diterima ini dan berharap lebih banyak lagi bantuan dapat disediakan pada masa akan datang,” kata yang berasal dari Kampung Orang Asli Batu 14 Gambang, di sini.

Mohd Fikri Mie

Fikri@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  64  =  70