56 sindiket tumpas, dadah RM245.22 dirampas dalam masa 2 bulan

 56 sindiket tumpas, dadah RM245.22 dirampas dalam masa 2 bulan

SHAH ALAM, 22 Mac — Sebanyak 56 sindiket dadah berjaya ditumpaskan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di seluruh negara dengan tertangkapkan 217 individu setakat dua bulan pertama tahun ini.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata dengan tangkapan itu juga, polis turut merampas lebih 76 tan pelbagai jenis dadah dan 9,752.46 liter cecair dadah bernilai RM245.22 juta serta lebih 61 tan daun ketum bernilai RM671,165.80.

Beliau berkata antara modus operandi yang digunakan sindiket dadah sejak tahun lepas hingga Februari tahun ini adalah menggunakan jalan laut kerana boleh membawa muatan bahan terlarang itu dalam kuantiti yang besar.

“Selain itu, sindiket turut menggunakan perkhidmatan kurier dengan menyembunyikan dadah di dalam barang keperluan asas termasuk peralatan sembahyang dan berselindung di sebalik sektor pengangkutan penghantaran barang keperluan harian dengan menggunakan lori serta perkhidmatan e-hailing,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata dengan jumlah tangkapan dan hasil rampasan dadah bernilai jutaan ringgit setiap minggu itu menunjukkan ancaman ketagihan dadah di negara ini masih tinggi.

“Sebab itu kita mahu hentikan pembekalan dadah ini terutamanya ke pusat-pusat hiburan, kerana di situlah dadah dijual kepada pengunjung…dalam banyak serbuan oleh polis apabila dibuat ujian saringan air kencing boleh saya katakan 95 peratus pengunjung adalah positif,” katanya.

Abdul Hamid berkata beliau bimbang sekiranya tiada usaha tambahan diambil, negara ini akan menjadi pusat pelancongan dalam mendapatkan bekalan bahan terlarang itu.

Justeru katanya, pihaknya sedang berunding dengan Jabatan Perkhidmatan Awam untuk memberikan tambahan anggota bagi memperkukuh JSJN kerana ancaman sindiket dadah ini adalah menyeluruh dan bukan hanya tertumpu di Lembah Klang sahaja.

Sementara itu, Abdul Hamid berkata polis berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan dadah dari Thailand dengan tertangkapnya tiga lelaki berumur 37 hingga 42 tahun dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kajang pada 17 Mac lepas.

Beliau berkata ketika serbuan, polis merampas 26 guni plastik berisi dadah jenis syabu dengan berat 673.20 kg di rumah tersebut dan turut menjumpai 12 guni plastik mengandungi dadah yang sama seberat 309.85 kg di sebuah lori yang diletakkan di hadapan rumah tersebut.

“Nilai dadah jenis syabu seberat hampir satu tan ini dianggarkan lebih RM35 juta yang boleh digunakan seramai 4.915 juta penagih,” katanya sambil menambah sindiket itu dipercayai telah aktif sejak awal tahun ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ketiga-tiga lelaki yang dipercayai berperanan sebagai ‘transporter’ yang membawa dadah masuk dari Thailand melalui Kelantan untuk pasaran di Lembah Klang itu didapati positif dadah jenis methaphetamine dan direman selama enam hari bermula 18 Mac.

 

 

Bernama

bernama@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  1  =  3