54 PATI termasuk kanak-kanak ditahan ketika bersembunyi

 54 PATI termasuk kanak-kanak ditahan ketika bersembunyi

54 PATI termasuk seorang kanak-kanak yang ditahan ketika sedang bersembunyi, semalam.

KOTA TINGGI, 24 Ogos — Seramai 54 pendatang asing tanpa izin (PATI) termasuk seorang kanak-kanak ditahan ketika sedang bersembunyi di Jalan Tanjung Balau-Sedili Kecil (Bio Desaru), di sini semalam.

Kesemua PATI berusia antara lima hingga 52 tahun terdiri daripada seorang kanak-kanak, 42 lelaki dan 11 wanita tersebut disyaki baru tiba ke negara ini melalui jalan yang tidak sah dan bersembunyi di situ.

Tentera Darat Malaysia (TDM) memaklumkan, tangkapan itu dilakukan dalam operasi di bawah formasi Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia (3 Divisyen) bagi Op Benteng kawasan tanggungjawab Briged Ketujuh Infantri Malaysia (7 Briged).

“Pada jam 3.30 pagi, anggota petugas pos pemerhati telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan di kawasan Bio-Desaru, Bandar Penawar. Hasil maklumat, pasukan telah mengatur gerak Quick Reaction Force (QRF) ke kawasan itu bagi membuat penjejakan.

“Pada jam 5 pagi, dengan bantuan pasukan Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan QRF telah berjaya mengesan serta menangkap 54 PATI yang sedang bersembunyi di tepi pantai Jalan Tanjung Balau – Sedili Kecil (Bio Desaru),” demikian kenyataan itu.

Mata wang Indonesia IDR 43.5 juta bersamaan RM12,770 turut dirampas dalam operasi terbabit serta 43 buah telefon bimbit yang menjadikan nilai keseluruhan berjumlah RM23,108.

Kesemua PATI terbabit dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan COVID-19 sebelum diserahkan kepada Jabatan Imigresen di Setia Tropika, Kempas.

Laporan polis juga telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

78  −  69  =