53,975 kg minyak masak bersubsidi dirampas

 53,975 kg minyak masak bersubsidi dirampas

PASIR GUDANG, 27 Jun — Kegiatan sebuah kilang di sini yang menyeleweng minyak masak bersubsidi terbongkar apabila diserbu

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Johor, semalam.

Dalam serbuan jam 9 pagi melibatkan 10 anggota penguat kuasa Johor Bahru menemukan 53,975 kilogram (kg) minyak masak bersubsidi.

Pengarah KPDNHEP Johor, Mohd. Hairul Anuar Bohro berkata, kejayaan itu hasil siasatan awal dan risikan yang dijalankan pihaknya selama dua minggu.

“Disyaki bekalan minyak masak bersubsidi ini diperoleh dari beberapa kilang pembungkus minyak masak di sekitar Kuantan dan Lembah Klang sebelum dibawa ke Pasir Gudang.

“Sindiket ini disyaki menjalankan aktiviti pemindahan minyak masak bersubsidi ke dalam tangki dengan cara memotong plastik menggunakan mesin pengisar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Daripada 53,974 kg itu, sebanyak 24,819 kg minyak masak telah dipindahkan ke dalam tangki, manakala selebihnya iaitu 29,155 pek masih dalam keadaan paket.

Selain itu, dua buah treler, dua forklift, sebuah motosikal serta peralatan seperti mesin pengisar, pam kompresor, tangki lori, hos getah dan lain-lain peralatan yang disyaki digunakan bagi menjalankan aktiviti penyelewengan minyak masak bersubsidi turut disita.

Kesemua barangan tersebut dirampas untuk siasatan lanjut dan jumlah keseluruhan nilai rampasan dianggarkan RM359,135.

Dalam serbuan itu juga, KPDNHEP Johor menahan tiga lelaki tempatan berumur 30 hingga 40 tahun, iaitu pemandu lori dan pekerja yang disyaki memindahkan bekalan minyak masak dari lori ke dalam premis tersebut bagi membantu siasatan.

Menurutnya, premis berkenaan tidak memiliki apa-apa kebenaran bagi menyimpan atau berurusan dengan minyak masak selain terdapat beberapa jenama minyak masak yang disimpan secara tidak sah.

Siasatan juga akan dijalankan ke atas pihak yang membekal minyak bersubsidi ke premis tersebut.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda sehingga RM1 juta atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, manakala bagi kesalahan kedua dan seterusnya denda tidak lebih RM3 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Bagi pertubuhan atau perbadanan, denda tidak lebih RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan kedua dan seterusnya. Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap pemilik premis tersebut,” katanya.

Kes itu turut disiasat bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan
Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (Akta 613) AMLATFPUAA 2001.

Nurman Nasyriq

nurman@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

8  +  1  =