538 menara pemancar SKMM telekomunikasi dipulihkan daripada terjejas banjir

 538 menara pemancar SKMM telekomunikasi dipulihkan daripada terjejas banjir

Mohamad Fakhruddin Mohd Ariff (belakang, kanan) sedang melihat kerja membaikpulih struktur pemancar telekomunikasi di sebuah kawasan di Pekan, hari ini.

PEKAN – Sebanyak 538 atau 94 peratus menara pemancar yang rosak telahpun berjaya diaktifkan semula oleh Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dengan kerjasama kerajaan negeri serta syarikat telekomunikasi berkaitan.

Sebanyak 571 struktur menara pemancar yang dikendalikan oleh enam syarikat telekomunikasi dilaporkan terjejas berikutan ditenggelami banjir di Pahang minggu lepas turut mendapat kerjasama daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, sehingga ini sebanyak 538 atau 94 peratus daripada jumlah yang rosak telahpun berjaya diaktifkan.

“Ketika banjir, TNB terpaksa memutuskan sementara bekalan elektrik sehinggalah air surut dan kerja membaiki kerosakan baharu dapat dilaksanakan segera, manakala syarikat telekomunikasi berkenaan membekalkan generator sebagai bekalan tenaga elektrik ketika kerja membaik pulih struktur menara pemancar di lokasi yang ditenggelami banjir.

Mohmad Fakhruddin Mohd Ariff (depan, kiri) sedang bertanyakan sesuatu kepada petugas Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat pembekal telekomunikasi sebuah menara pemancar Pekan, hari ini.

“Syarikat telekomunikasi mengambil tindakan dengan pantas menggantikan peralatan elektronik yang rosak dengan bantuan generator untuk mengaktifkan talian bagi kemudahan penduduk,” katanya ketika melawat kerja membaik pulih sebuah menara telekomunikasi di sini hari ini.

Turut hadir Pengarah SKMM Pahang, Mohd Faisal Md Nor.

Menurut Mohammad Fakhruddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bebar berkata, SKMM dibantu syarikat pembekal talian telekomuniaksi di negeri ini sedang berusaha membaik pulih struktur pemancar yang lain dan dijangka siap dalam dalam masa terdekat.

“Kesukaran kerja membaikpulih serta mengaktifkan pemancar berkenaan berikutan kedudukan lokasi yang berbukit, hutan dan berlumpur terpaksa ditempuhi oleh petugas SKMM, TNB dan syarikat pembekal berkenaan,” katanya.

Beliau selanjutnya berkata, kerajaan negeri memahami masalah yang ditempuh oleh kakitangan SKMM, TNB, Syarikat Telco dan pejabat daerah yang bekerja hingga lewat malam malah berdepan dengan cuaca yang tidak menentu termasuk hujan bagi mengaktifkan semula talian jalur lebar untuk kemudahan dan keselesaan pengguna.

“Kerajaan negeri amat berterima kasih dengan usaha yang komited petugas berkenaan sejak selepas air surut bagi memastikan struktur menara telekomuniasi dapat diaktifkan sekaii gus talian internet berfungsi dengan baik untuk kemudahan pengguna.

“Saya berharap penduduk di lokasi yang masih mengalami gangguan perhubungan talian termasuk internet supaya bersabar sementara waktu dan memahami usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Pahang, SKMM dan syarikat telekomunikasi berkenaan,” katanya.

Amir Hamzah Nordin

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

66  −    =  58