514 aduan gangguan gajah diterima PERHILITAN Johor

 514 aduan gangguan gajah diterima PERHILITAN Johor

Oleh Mohd Kamal Ahmad

JOHOR BAHRU, 22 April – Sebanyak 514 aduan gangguan gajah telah diterima oleh Jabatan PERHILITAN Negeri Johor daripada pelbagai pihak di negeri ini bagi tempoh 2016 sehingga April ini.

Pengarah PERHILITAN Negeri Johor, Salman Saaban berkata, susulan daripada aduan itu, pihaknya telah menjalankan tindakan kawalan, pemantauan dan tembak halau di kawasan berlakunya konflik gajah.

“Untuk tempoh 22016-2020, sebanyak 1,609 tindakan kawalan dan pemantauan telah dilakukan,” katanya kepada Wacana.my.

Beliau berkata, pihaknya turut menjalankan operasi tangkapan gajah, di mana 30 ekor gajah konflik telah  ditangkap dan dipindahkan dari tahun 2016 hingga 2020 yang mana melibatkan 17 tangkapan di daerah Kota Tinggi, Mersing (enam) dan Kluang (enam).

Menurutnya, bagi tempoh sama, PERHILITAN merekodkan sembilan kes serangan gajah ke atas manusia di mana melibatkan enam kematian dan tiga  kecederaan. Kes-kes kematian dilaporkan di daerah Kota Tinggi (empat), Mersing (empat) dan Kluang (satu).

Pada masa sama, katanya PERHILITAN menganjurkan program kesedaran awam menerusi sesi dialog dan perbincangan bersama masyarakat. Ia bertujuan memulihara dan melindungi gajah selain memberi kesedaran serta kefahaman penduduk dalam pengurusan konflik manusia-gajah selain kaedah pengurusan tanah pertanian yang betul terutama bagi kawasan bersempadan dengan hutan.

Kakitangan PERHILITAN dalam satu operasi menangkap gajah.

“Kami turut memasang 8 unit kolar satelit pada gajah sebagai sistem amaran awal bagi memantau pergerakan kumpulan gajah yang sering menimbulkan konflik. Untuk 2021, jabatan dirancang untuk menambah pemasangan empat lagi unit kolar satelit.

“Kami juga menggunakan teknologi dron bagi memantau pergerakan kumpulan gajah yang besar. Buat masa ini terdapat tiga unit dron dengan kekuatan enam anggota yang beroperasi di Santuari Gajah Johor (JES), Mersing dan Kluang,” katanya.

Ditanya mengenai pemasangan lebih banyak papan tanda amaran dilaluan gajah, Salman berkata, PERHILITAN ada memasang papan-papan tanda amaran di sepanjangan Jalan Kota Tinggi – Mersing bagi mengurangkan risiko kemalangan yang melibatkan gajah.

“Akhir sekali, kami menjalankan program stakeholders engagement (libaturus pihak berkepentingan) di dalam merancang dan mengurus populasi gajah terutamanya dengan pihak ladang supaya tanggungjawab memulihara spesies gajah ini dipikul secara bersama,” katanya.

Mengenai gajah yang ditangkap dalam operasi  jabatan, beliau berkata, haiwan itu akan dilepaskan semula di Taman Negara Endau-Rompin yang masih mempunyai kawasan hutan yang luas serta sesuai untuk  gajah itu mencari makan.

Namun ada anak-anak gajah yang diselamatkan dihantar ke Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan di Lanchang, Pahang untuk dirawat dan dijinakkan.

“Buat masa ini, kemudahan kurungan gajah di JES hanya untuk menempatkan gajah-gajah yang terlatih atau anak-anak gajah yang diselamatkan. Santuari itu dijangka mula beroperasi sepenuhnya, akhir tahun ini,” katanya.

Jadual yang dipaparkan pula menunjukkan anggaran jumlah gajah yang ada di seluruh Johor dan jumlah kelompok (ID gajah) serta anggaran bilangan gajah dalam setiap ID.

Jadual 1: Nama kumpulan gajah, anggaran populasi serta lokasi utama konflik gajah di Negeri Johor

 

BIL NAMA KUMPULAN GAJAH ANGGARAN POPULASI (EKOR) LOKASI KONFLIK UTAMA
1. Panti 30 – 40 Kampung Mawai, Kota Tinggi, FELDA Tenggaroh 12, Tanjung Sedili, FELCRA Sungai Ara, Kampung Teluk dan Kambau
2. Taman Negeri 40 – 45 Taman Negara Endau-Rompin, Kampung Orang Asli Peta, Kampung Orang Asli Punan dan Kampung Sri Lukut
3. Jemaluang 20 – 30 Kampung Tenglu, Mersing, Jemaluang, FELDA Tenggaroh Timur, Kampung Sekakap dan Kampung Wak Salam
4. Bandar Tenggara 25 – 30 FELDA Penggeli, Gunung Belumut, Gunung Lambak, Kahang Timur, Kahang Barat dan Kampung Ilham
5. Labis 5 – 15 Kampung Tenang, FELDA Redong, Kampung Orang Asli Ulu Segamat Kechil, Kampung Melayu, Kampung Orang Asli Tamok, Kampung Orang Asli Selai dan Kampung Orang Asli Tembayan
JUMLAH 120 – 160

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  +  26  =  32