• Sunday, 20 June 2021, 9:16 am

51 dicekup asyik berhibur di rumah kedai

 51 dicekup asyik berhibur di rumah kedai

Oleh Nurman Nasyriq

KULAI, 18 Mei – Keasyikan 51 pengunjung meneguk minuman keras terbantut apabila ditahan polis di sebuah premis di Jalan Cyber 16, Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3, Senai di sini malam semalam.

Mereka ditahan dalam Ops Noda pada jam 12 tengah malam oleh sepasukan pegawai dan anggota polis Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS).

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, siasatan mendapati premis itu adalah rumah kedai yang dijadikan tempat untuk berhibur dan dipercayai tiada lesen.

“Hasil serbuan mendapati premis sedang beroperasi dengan muzik yang kuat dan lampu berkelip-kelip dipasang dalam premis berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut mendapati seorang lelaki warga tempatan berada di kaunter, selain empat pelanggan warga tempatan dan 47 warga asing sedang minum arak dan tidak mengamalkan penjarakan sosial.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki Indonesia, lima lelaki India, dua lelaki Pakistan, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Polis turut merampas peralatan dalam premis tersebut, antaranya televisyen, sebuah modem, sebuah pro mixer, sebuah speaker, dua set mikrofon serta sebuah buku catatan hutang pelanggan.

Semua suspek yang berusia antara 20 hingga 46 tahun ditahan dan dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk tindakan lanjut.

Kes disiasat mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Peraturan 10 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langlah Dalam Kawasan Tempat Berjangkit) 2021.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 55B dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Mereka yang ditahan itu direman empat hari bermula semalam selepas mendapat perintah Majistret,Sharifah Maleeha Syed Hussin.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya mematuhi undang-undang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Orang ramai yang mempunyai aduan atau maklumat boleh menyalurkannya dengan menghubungi bilik gerakan IPD Kulai.

 

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *