5 lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan PKPD

 5 lokaliti di Sabah dan Pahang dikenakan PKPD

Ladang Sime Darby Bukit Puteri, Mukim Batu Yon 1 di Lipis, Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 6 November sehingga 19 November 2021. FOTO Hiasan

KUALA LUMPUR, 25 Sept — Lima lokaliti, masing-masing tiga di Sabah dan dua di Pahang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari bermula Ahad ini hingga 9 Oktober ini.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad, berkata PKPD di Sabah membabitkan dua lokaliti di Ranau iaitu Kampung Tinongian dan Kampung Karagasan serta satu lokaliti di Keningau iaitu Base Camp Bornion Timber Sdn Bhd, Batu 46, Tulid, Sood.

“Dua lokaliti di Pahang pula ialah Rumah Pangsa Jalan Karak, Mentakab di Temerloh dan Perkampungan Orang Asli di Pos Lenjang dan Pos Titom, Mukim Ulu Jelai di Lipis.

“Pelaksanaan PKPD diputuskan selepas kerajaan meneliti pembentangan Kementerian Kesihatan (KKM) mengenai penilaian risiko serta trend jangkitan COVID-19 di semua lokaliti terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) semua PKPD adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini.

Sementara itu, Rodzi berkata, kerajaan hari ini turut memutuskan untuk melanjutkan tempoh PKPD tiga lokaliti di Pahang iaitu Pos Sinderut, Mukim Ulu Jelai, Lipis dan dua perkampungan Orang Asli di Kuala Krau, Temerloh iaitu Kampung Pasu dan Kampung Penderas.

Katanya, PKPD di tiga lokaliti berkenaan yang sepatutnya tamat esok akan disambung dua minggu lagi bermula Ahad ini hingga 9 Oktober ini.

Kerajaan juga bersetuju untuk menamatkan PKPD di FELDA Keratong 5, Rompin, Pahang; PKPD Kampung Ulu Groh, Kampar, Perak dan PKPD Kampung Kopungit, Kota Kinabalu, Sabah mulai Jumaat.

Muhammad Iqhwan Hakim Abdullah

iqhwan@wacana.my

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  85  =  88