5 kunci perkukuh sabar, tawakal dan takwa hadapi COVID-19

 5 kunci perkukuh sabar, tawakal dan takwa hadapi COVID-19

Oleh YB Sohibus Samahah Dato’ Haji Mohd Yusof Haji Ahmad

Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan

INSAN sejagat rata-rata terkesan dengan penularan pandemik COVID-19. Ramai yang hilang pekerjaan, pendapatan berkurangan atau perniagaan terpaksa ditutup. Rutin kehidupan terhenti dan ditukar dengan norma baharu. Apa juga situasi dari kesan wabak itu telah memberi kesan kepada fizikal, emosi serta spiritual.

Persoalannya, bagaimana memperkukuhkan kesabaran, ketaqwaan dan tawakal ketika kita semua menghadapi zaman kepayahan ini?

Dalam menghadapi berbagai ujian tersebut, ada beberapa sikap yang harus dilakukan seorang mukmin. Pertama, tetap merasa yakin bahawa akan datang pertolongan Allah SWT kepada kita. Kedua, segera mengucapkan Innaa lillaahi wainnaa ilaihi rajiuun setiap kali mendapat musibah. Selanjutnya adalah bertawakal kepada Allah. Tawakal menjadi salah satu syarat bagi seseorang mendapat pertolongan Allah SWT. Ketika diuji dengan kepayahan, kesulitan dan musibah, hendaklah sabar menghadapi setiap ujian itu.

Sabar merupakan senjata paling ampuh dalam menghadapi pelbagai ujian dan dugaan. Sabar menghadapi kesusahan dan kepayahan hidup dengan hati yang tenang, berlapang dada, tidak berputus asa, tidak mudah menyerah kalah dan tidak menyangkal akan segala ketentuan dan ketetapan Allah SWT, tidak bersangka buruk dengan-Nya. Berusahalah menghadapi ujian tersebut dengan mencari jalan penyelesaian yang bijaksana, berdoa, bertawakal dan lebih mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Kesabaran tidak muncul dengan sendirinya, tetapi ia harus diusahakan dan dibiasakan agar menjadi sifat utama diri. Di sinilah diperlukan pengorbanan melawan keinginan hati dan perjuangan menahan nafsu diri. Keutamaan sabar banyak disebut dalam al-Quran yang mana kebanyakannya menggabungkan dengan keyakinan, syukur, tawakal, solat, jihad, takwa, kebenaran, amalan soleh, rahmat dan lain-lain.

Sementara itu, tawakal adalah pelengkap sejati sifat sabar. Tawakal adalah kerja hati memasrahkan seluruh ujian dan dugaan kepada kehendak-Nya. Tawakal berkaitan erat dengan keredaan kita menjadikan Allah sebagai pelindung dalam kehidupan. Kehadiran tawakal dalam diri akan menghadirkan kemudahan mengatasi masalah kerana kita benar-benar mengharap pertolongan dan kemudahan hanya dari Allah SWT.

Taqwa ialah ketundukan dan ketaatan terhadap perintah Allah dan menjauhi segala larangannya. Menjaga dan memelihara diri daripada siksa dan murka Allah dengan melaksanakan perintah-Nya, taat perintah-Nya dan menjauhi larangan-larangan-Nya serta menjauhi perbuatan maksiat. Sifat taqwa ini mestilah dibina di atas landasan syariat yang suci yang mana ia diasaskan oleh solat, puasa, zakat dan haji.

Manakala mencapai tahap ketaqwaan itu adalah dari dalaman iaitu dengan nilai kerohanian yang tinggi terhadap Allah SWT. Ertinya di sini, setiap ibadah yang berbentuk fizikal harus disertai dengan kehadiran jiwa yang ikhlas, hati yang tulus dan perasaan yang murni kerana nilaian Allah bukan hanya pada kuantiti semata-mata tetapi kualiti yang dilaksanakan. Bagi seseorang mukmin untuk memperkukuhkan kesabaran, ketaqwaan dan tawakal hendaklah sentiasa berusaha meraih kebaikan Allah SWT, hendaklah sentiasa bermuhasabah diri, memperbaharui niat ibadah dan selalu mencari jalan untuk membuat sebanyak mungkin pahala dan meningkatkan amal ibadah.

Sewajarnya kita memperbanyakan doa dan istighfar, agar Allah SWT mengampunkan dosa-dosa kita dan mengganjari kita melalui musibah dengan pahala dan kebaikan yang besar. Tabah dan tekun melakukan ketaatan, menahan diri daripada melakukan maksiat atau kemungkaran, memelihara diri dari godaan dunia, nafsu dan syaitan, tenang atau teguh hati menghadapi cubaan musibah.

Istiqamah dalam beramal. Iaitu melakukan amalan ketaatan dan ibadah serta menjauhi kemungkaran secara berterusan. Sentiasa berdoa kepada Allah SWT. Jika hanya dengan usaha zahir sahaja tanpa mengharapkan bantuan daripada Allah, maka mustahil bagi kita untuk membuang nafsu yang jahat yang ada di dalam diri kita.

Bermujahadah. Iaitu melawan nafsu yang mendorong ke arah kejahatan dan menghalang diri dari melakukan maksiat zahir dan batin. Memperbanyak zikir kepada Allah dan membaca al-Quran. Bersahabat dengan orang-orang baik, yang senantiasa memberikan nasihat dan saling mengingatkan, serta menjauhi orang-orang yang berbuat kejelekan dan bid’ah; Jangan menyandarkan hati kepada selain Allah. Jika kita menyandarkan hati kepada selain Allah saat menghadapi satu masalah atau musibah, pertolongan Allah akan semakin jauh dari kita. Ikhtiar menyelesaikan segala urusan dengan cara-cara yang syar’i, bukan dengan cara yang haram. kita harus berserah diri sepenuhnya kepada Allah dari awal hingga berakhirnya urusan. Dengan berserah diri kepada Allah, kita akan menjadi tenang sehingga dapat menerima apa pun hasil ikhtiar dengan lapang dada.

Kesimpulannya antara cara untuk kita memperkukuhkan kesabaran, ketaqwaan dan tawakal:

Pertama: sentiasa istiqamah dan berazam untuk mengekalkan amalan-amalan kebaikan yang fardhu dan yang sunat.

Kedua: berpegang kepada Aqidah yang benar dan menjauhi syirik, perkara-perkara maksiat dan mengekalkan ketaatan.

Ketiga: menyucikan hati dengan menghayati sifat syukur di atas segala kurniaan Allah swt selama ini di samping melatih diri selalu mengingati kebesaran-Nya dan meninggalkan sifat mazmumah.

Keempat: melazimi pakaian taqwa dan patuh syariat.

Kelima: sentiasa tabah ketika menghadapi ujian, cabaran dan dugaan dalam hidup menerusi sifat sabar. Sabar dapat meningkatkan mutu ibadah dan akhlak terpuji. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran bahawa Dia akan menguji manusia dengan ujian dan kesukaran bagi menentukan tahap iman manusia sama ada bersyukur atau ingkar kepada-Nya.

Allah SWT berfirman:

َمَرا ِتۗ ا ِس َوالث نفُ ِل َوا ْْلَ ْمَوا ٍص ِ م َن ا ْْلَ َونَقْ ِ ُجوع ْ َخْو ِف َوال ْ َونا ُكم بِ َش ْيٍء ِ م َن ال ُ نَ ْبل ِر ال اصابِ ِري َن َولَ َوبَ ِش

(Al-Baqarah ayat 155).

Yang bermaksud: “Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar.”

Bagaimanapun, Allah SWT juga berjanji bahawa setiap kesulitan akan diiringi dengan bantuan dan kemudahan.

Firman Allah ۗ عُ ْسِر يُ ْس ًرا ْ اِ ان َم َع ال (As-Sharh ayat 6).

Yang bermaksud: “Sesungguhnya beserta kesulitan itu ada kemudahan.”

Ini menunjukkan kesenangan mahupun kesukaran yang dihadapi oleh manusia di dunia ini adalah bersifat sementara dan tidak akan kekal selamanya. Seseorang tidak akan sentiasa dirundung malang, ibarat kata pepatah ‘langit tidak selalunya mendung.’

Begitulah juga dengan wabak COVID-19 ini yang tidak akan kekal selama-lamanya dan akan lenyap juga. Insya Allah

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

  −  2  =  4