Asam pedas tarik kehadiran pelancong, jangan naikkan harga

 Asam pedas tarik kehadiran pelancong, jangan naikkan harga

MASJID TANAH 15 Jan 2022 – Melaka dikenali dengan budaya, bangunan tradisi, sejarah dan juga pelbagai juadah makanan. Asam pedas adalah hidangan istimewa yang sentiasa menjadi pilihan pelawat dari luar Melaka.

Sehubungan itu, harga hidangan popular itu tidak seharusnya dinaikkan.


Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali menegaskan, jika hal berkenaan berlaku, ia dibimbangi menjejaskan industri pelancongan.

Sulaiman meninjau jualan barangan pada PJKM Malaysia di Kompleks Sukan Masjid Tanah.


Beliau menegaskan, kenaikan harga barang sekarang tidak boleh dielakkan berikutan pelbagai faktor, terutama penawaran yang kurang berbanding pemintaan, selain kenaikan kos bahan makanan haiwan ternakan.


Bagaimanapun, kenaikan itu tidak seharusnya diimbangi dengan tindakan peniaga asam pedas turut menaikkan harga bahan makanan kegemaran kebanyakan pelancong itu.


“Asam pedas tarikan pelancong ke Melaka dan orang yang datang Melaka mesti hendak cari asam pedas tetapi kalau harga sudah melambung, orang takut hendak makan asam pedas.


“Biarlah kita untung sedikit tetapi jumlah jualan kita banyak,” katanya selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) di Kompleks Sukan Masjid Tanah, di sini.

Hadir sama, Pengarah KPDNHEP Melaka Norena Jaafar.


Beliau mengulas dakwaan pihak tertentu melalui laman sosial kononnya harga asam pedas di beberapa lokasi di negeri ini meningkat sejak sebulan lalu.


Sulaiman juga berkata, kerajaan negeri bekerjasama dengan KPDNHEP dalam usaha menstabilkan harga ayam kerana ia adalah antara bahan makanan digemari ramai.


“Pengusaha ternakan ayam mendakwa harga bahan makanan meningkat dan mereka terpaksa mengimbanginya dengan menaikkan harga ayam di ladang.


“Kerajaan mengambil langkah membenarkan ayam import dari Thailand tetapi terpaksa mengambilnya secara berperingkat bagi memastikan penternak ayam tempatan tidak terjejas,” katanya.


Sementara itu, Norena berkata, sepanjang Disember lalu, PJKM sudah diadakan di Merlimau, Machap, Telok Mas, Tangga Batu, Peringgit dan Kuala Sungai Baru.


“Pembuka tirai PJKM tahun ini dimulakan hari ini secara serentak di kompleks sukan ini, tapak pasar malam Semabok, perkarangan tempat letak kereta Stadium Jasin, hadapan KlinikKesihatan Ayer Molek, Taman Pantai Emas Klebang dan JAPERUN Tanjung Bidara,” katanya.


Syarikat yang terbabit dalam program itu ialah Syarikat Faiza Sdn Bhd, Lotus’s Cawangan Peringgit, Lotus’s Cawangan Cheng, Family Store Cawangan Masjid Tanah, Mydin Mohamed Holdings Berhad dan syarikat pemborong minyak masak.


Katanya, harga pelbagai barang seperti ayam, ikan, telur, sayur, buah-buahan, minyak masak, gula, tepung, bawang, kentang, beras dan barangan sejuk beku ditawarkan 30 peratus lebih rendah berbanding di pasaran.

Related post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

  +  52  =  59